Presiden Itali Mattarella dipilih semula, meredakan krisis

Presiden Itali Mattarella dipilih semula, meredakan krisis

ROM: Parti politik di Itali mengundi secara besar-besaran bagi membolehkan Presiden Sergio Mattarella kekal sepenggal lagi, sekali gus mengelakkan kekecohan politik berikutan kegagalan memilih penggantinya.

Tindakan memilih lelaki berusia 80 tahun itu mengakhiri kes pertikaian mengenai sama ada Perdana Menteri, Mario Draghi patut dilantik ke jawatan itu ketika ramai yang bimbang tindakan itu akan menyebabkan kerajaan tiada pemimpin ketika berada dalam waktu yang sangat sensitif, ketika ini.

Mattarella memerlukan sekurang-kurangnya 505 undi daripada 1,009 undi ahli parlimen dan wakil wilayah.

Beliau bagaimanapun mendapat 759 undi yang melayakkan beliau terus kekal sebagai presiden negara itu.

Bekas hakim mahkamah perlembagaan itu berulang kali menolak untuk berkhidmat untuk penggal kedua, namun akur dengan keputusan undian itu selepas parti politik Itali yang bertelagah gagal mencari calon lain.

“Saya mempunyai rancangan lain, tetapi jika perlu, saya bersedia,” kata Mattarella sebelum pengundian, menurut wakil parlimen parti.

Beliau dijangka mengangkat sumpah jawatan pada Rabu atau Khamis ini.

Namun, ramai menjangkakan beliau akan pergi sebelum tamat tempoh tujuh tahun perkhidmatannya, berkemungkinan kekal sekurang-kurangnya melepasi pilihan raya yang dijadualkan pada 2023.

Jawatan presiden Itali sebahagian besarnya bersifat istiadat, tetapi ketua negara menggunakan kuasa yang serius semasa krisis politik, daripada membubarkan parlimen kepada memilih perdana menteri baharu dan menafikan mandat kepada gabungan yang rapuh.

Draghi berkata, keputusan itu, selepas lapan pusingan pengundian selama enam hari, adalah ‘berita yang menggembirakan bagi warga Itali’.

Presiden Perancis, Emmanuel Macron, dalam Twitternya mengucapkan tahniah kepada ‘Sergio sayang’, manakala Presiden Jerman, Frank-Walter Steinmeier memuji ‘role model’ yang ‘memahami kepentingan Eropah’.

Pope Francis memuji perjanjian ‘murah hati’ Mattarella untuk kekal dalam tempoh ketidakpastian yang disebabkan oleh pandemik coronavirus, yang melanda Itali dengan teruk.

Draghi, bekas Ketua Bank Pusat Eropah yang dibawa masuk untuk mengetuai kerajaan perpaduan negara hampir setahun lalu, disebut-sebut selama berbulan-bulan sebagai ketua negara yang paling layak.

Namun, ramai yang bimbang jika perdana menteri melepaskan jawatannya akan menjejaskan kestabilan Itali yang sarat hutang apabila ia pulih daripada kemelesetan yang disebabkan oleh sekatan akibat COVID-19.

Itali menggunakan hampir 200 bilion euro ($222 bilion) dalam dana Kesatuan Eropah (EU) untuk mengukuhkan aliran ekonominya, tetapi wang dari Brussels bergantung pada jadual reformasi yang ketat.

Pelabur antarabangsa telah memerhati pilihan raya dengan teliti, di tengah-tengah kebimbangan pemergian Draghi boleh menjejaskan keseluruhan program.

Guido Cozzi, profesor makroekonomi di Universiti St. Gallen, memberitahu AFP lanjutan mandat Mattarella adalah ‘baik untuk pasaran kewangan’.

Draghi juga telah berjaya meminimumkan perbalahan antara parti-parti Itali, hampir kesemuanya berkongsi kuasa dalam kerajaan perpaduan negaranya.

Namun, akhbar Repubblica menegaskan bahawa, dengan kempen untuk pilihan raya 2023 sudah dijalankan, tahun hadapan ‘berisiko menjadi ulangan daripada kekacauan yang telah kita lihat sejak beberapa hari lalu’.

Dengan keputusan pemilihan itu, Mattarella bertanggungjawab menjaga keamanan: “tugas yang lebih sukar daripada yang kita boleh bayangkan”.

Ketua parti liga sayap kanan, Matteo Salvini adalah orang pertama yang secara terbuka mencadangkan nama presiden yang popular itu dikekalkan selepas pencalonan Jumaat lalu gagal.

Bekas perdana menteri, Silvio Berlusconi, jutawan yang gagal merebut jawatan presiden juga berkata, pihaknya mahu Mattarella ‘untuk membuat pengorbanan besar’, begitu juga dengan Parti Demokratik (PD) kiri tengah.

Hanya parti Brothers of Italy yang berhaluan kanan yang menentang suaya Mattarella untuk dikekalkan. – AFP

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top