Presiden Mesir minta Parlimen beri kuasa sokong pertahanan Arab Saudi

Presiden Mesir minta Parlimen beri kuasa sokong pertahanan Arab Saudi

KAHERAH: Parlimen Mesir akan mengadakan sidang tergempar pada Ahad selepas Presiden, Abdel Fattah al-Sisi meminta anggota Parlimen memberi kuasa kepada kerajaan untuk membantu pertahanan Arab Saudi daripada serangan Houthi sekiranya diminta oleh negara itu.

Arab Saudi mengetuai pakatan ketenteraan yang menyokong kerajaan Yemen yang diiktiraf masyarakat antarabangsa dalam perang saudara negara itu menentang kumpulan Houthi yang disokong Iran.

Mesir menyertai campur tangan ketenteraan yang diketuai Arab Saudi pada 2015, namun peranannya lebih tertumpu kepada usaha menjamin keselamatan laluan perkapalan di Laut Merah berbanding operasi tempur di barisan hadapan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Sejak perang di Yemen kembali memuncak pada Julai lalu, Houthi meningkatkan serangan terhadap sasaran di Arab Saudi, termasuk kemudahan tenaga dan Lapangan Terbang Antarabangsa Riyadh, yang menyaksikan 19 orang terbunuh dalam beberapa serangan sejak minggu lalu.

Houthi turut mengisytiharkan sekatan maritim terhadap Arab Saudi dan menawan kawasan sekitar Selat Bab al-Mandab, laluan strategik di Laut Merah yang semakin penting bagi eksport minyak Riyadh selepas Iran berusaha menyekat trafik perkapalan melalui Selat Hormuz di Teluk.

Ketika berucap pada majlis graduasi akademi ketenteraan Mesir, Abdel Fattah berkata, amat tidak wajar jika Kaherah berdiam diri ketika Arab Saudi dikenakan tindakan yang memudaratkan atau keselamatan dan kestabilannya diancam.

“Mesir, sudah tentu, dengan arahan daripada Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz Al-Saud dan Putera Mahkota Arab Saudi, Putera Mohammed Salman, akan mengambil apa-apa langkah untuk melindungi atau mempertahankan anda.

“Mesir memberikan sokongan penuh dan tidak berbelah bahagi untuk melindungi serta mempertahankan wilayah saudara-saudara kami di Teluk.

“Saya tidak bercakap tentang memerangi sesiapa atau menyerang sesiapa. Kami hanya bercakap tentang pertahanan,” katanya. sebelum meminta hadirin berdiri dan memberikan tabik hormat ketenteraan kepada negara-negara Teluk.

Tidak lama selepas kenyataan Abdel Fattah, media kerajaan melaporkan Parlimen akan bersidang secara tergempar pada Ahad atas permintaan Presiden itu, namun tidak memberikan butiran lanjut.

Pemimpin de facto Arab Saudi, Putera Mohammed Salman, melawat Kaherah bulan lalu. Dalam lawatan itu, Mesir menegaskan sokongannya terhadap apa-apa langkah yang diambil kerajaan Arab Saudi bagi melindungi keselamatannya.

Kedua-dua pemimpin turut menggesa supaya kebebasan dan keselamatan pelayaran di Laut Merah dipelihara. Laluan perdagangan penting itu juga menjadi pintu masuk ke Terusan Suez.

Konflik dengan Houthi turut mengancam kepentingan Mesir kerana gangguan terhadap perkapalan di Laut Merah boleh mengurangkan lagi pendapatan Terusan Suez, yang menjadi sumber utama mata wang asing negara itu.

Menteri Luar Mesir, Badr Abdelatty berkata, terusan itu kehilangan hasil lebih AS$11 bilion (RM44.89 bilion) sejak Houthi mula menyerang kapal komersial pada 2023 sebagai tanda solidariti dengan rakyat Palestin ketika perang di Gaza.

Walaupun mempunyai hubungan ketenteraan yang lama dengan negara-negara Teluk, Mesir belum menyertai perjanjian pertahanan bersama Mekah yang ditandatangani Arab Saudi, Turkiye dan Pakistan pada Ogos lalu.

Kaherah secara umumnya lebih mengutamakan diplomasi berbanding penyertaan dalam pakatan ketenteraan serantau.

Turkiye berkata pada Ogos, pakatan pertahanan serantau itu terbuka kepada penyertaan anggota baharu, termasuk Mesir.

Bagaimanapun, Kaherah berkata, pihaknya sedang meneliti perjanjian itu secara mendalam dan masih belum membuat keputusan sama ada mahu menyertainya.

Arab Saudi sejak sekian lama menjadi penyokong utama Mesir, termasuk menyalurkan bantuan kewangan selepas penggulingan bekas Presiden, Mohammed Morsi pada 2013 dan ketika negara itu berdepan krisis ekonomi.-AFP

Scroll to Top