Presiden MIC akur dikompaun, akan lebih berhati-hati

Presiden MIC akur dikompaun, akan lebih berhati-hati

farid_noh@bh.com.my

ISKANDAR PUTERI: Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran yang menjadi tuan rumah Majlis Pelancaran Briged MIC Johor petang tadi, akur dengan tindakan kompaun dikeluarkan ke atasnya kerana melanggar prosedur standard operasi (SOP).

Katanya, tindakan kompaun itu sememangnya tidak dijangka berikutan program yang dianjurkan partinya itu sudah mengikuti SOP yang ditetapkan, terutama dari segi jumlah kehadiran.

“Saya akur, Menteri Kesihatan (Khairy Jamaluddin) sudah keluarkan kompaun. Saya mana boleh jangka kompaun ini, kita dalam kerajaan yang sama pun kena saman.

“Program MIC pada hari ini bertujuan tingkatkan keyakinan pengundi kepada BN, bukan hendak langgar SOP,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Briged MIC Johor di Stadium Tertutup Educity ,di sini, hari ini.

Terdahulu, Kementerian Kesihatan (KKM) mengarahkan tiga pemimpin BN yang hadir ke pelancaran Briged MIC Johor yang berlangsung petang tadi dikompaun kerana melanggar SOP.

Menterinya, Khairy Jamaluddin, dilaporkan mengarahkan pegawai KKM Putrajaya mengeluarkan kompaun itu terhadap Vigneswaran; Bendahari Agung BN, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Pengerusi BN Johor, Datuk Seri Hasni Mohammad.

Program pelancaran Briged MIC Negeri Johor diadakan di Stadium Tertutup Educity, di sini, bermula jam 5 petang tadi sebelum berakhir pada jam 7.15 petang.

Kira-kira 3,000 ahli MIC hadir pada program berkenaan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top