ABUJA: Presiden Nigeria, Bola Tinubu, pada Selasa mengarahkan pihak tentera dan agensi keselamatan untuk melancarkan operasi menyelamat serta-merta selepas puluhan penduduk diculik oleh kumpulan lelaki bersenjata di negeri Niger, kawasan utara-tengah negara itu, minggu lalu.
Satu kumpulan bersenjata memuat naik video di Facebook dan WhatsApp yang menunjukkan kira-kira 600 mangsa merangkumi wanita, kanak-kanak dan warga emas yang diculik semasa serangan di sebuah masjid tempatan, menurut pengesahan penduduk kawasan tersebut.
Agensi berita Reuters belum dapat mengesahkan jumlah sebenar mangsa secara bebas.
Namun, sekiranya angka berkenaan sahih, ia bakal menjadi antara kes penculikan beramai-ramai terbesar dan paling berani di Nigeria dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini.
Seorang pegawai tempatan dari daerah Borgu, lokasi di mana penculikan itu berlaku, memaklumkan bahawa seramai 30 orang terbunuh dalam serangan tersebut dan telah selamat dikebumikan pada Ahad.
Pegawai berkenaan yang enggan dikenali mendedahkan bahawa serangan itu menjejaskan penduduk kampung dari komuniti Dakera, Gidan-Zana dan Sabon Gida.
Menerusi kenyataan rasmi pertamanya berhubung insiden tersebut, pihak pentadbiran presiden mengecam serangan berkenaan sebagai tindakan penakut dan berikrar akan membawa pihak yang bertanggungjawab ke muka pengadilan.
“Keganasan tidak akan menakut-nakutkan Nigeria. Kami akan mempertahankan rakyat kami, melindungi komuniti kami dan memelihara kesucian nyawa manusia,” kata Tinubu dalam satu kenyataan.
Tinubu turut mengarahkan ketua-ketua keselamatan untuk memberi kemas kini berkala mengenai usaha menyelamatkan mangsa culik serta mengesan kesemua penduduk yang hilang.- AGENSI
