LONDON: Perdana Menteri Britain, Keir Starmer menyambut kedatangan Volodymyr Zelenskiy dengan pelukan hangat, semalam selepas Presiden Ukraine terbang ke London untuk berbincang selepas pertembungan dengan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump di Rumah Putih.
Dalam mesyuarat di Pejabat Oval yang luar biasa pada Jumaat lalu, Trump mengancam untuk menarik balik sokongan kepada Ukraine, tiga tahun selepas Rusia menguasai sebahagian negara itu.
Di London, orang ramai bersorak ketika Zelenskiy tiba untuk berbincang dengan Starmer di pejabatnya di Downing Street sebelum sidang kemuncak pemimpin Eropah yang akan dihadiri Presiden Ukraine itu hari ini, bagi membincangkan pelan damai untuk Ukraine.
“Saya harap anda mendengar beberapa sorakan di jalanan. Itulah orang United Kingdom yang tampil untuk menunjukkan betapa mereka menyokong anda … dan keazaman mutlak kami untuk berdiri bersama anda,” kata Starmer kepadanya.
Starmer memberitahu Zelenskiy bahawa dia mempunyai “sokongan penuh di seluruh United Kingdom.”
“Kami berdiri bersama anda dan Ukraine selama yang diperlukan,” kata Starmer.
Zelenskiy berkata, beliau mengadakan perbincangan “penting dan hangat” dengan Starmer, dengan tumpuan terhadap pengukuhan kedudukan Ukraine dan mendapatkan jaminan keselamatan yang boleh dipercayai.
“Semasa perbincangan, kami membincangkan cabaran Ukraine dan seluruh Eropah, penyelarasan dengan rakan kongsi kami, langkah konkrit untuk mengukuhkan kedudukan Ukraine dan menamatkan perang dengan cara yang adil, dengan jaminan keselamatan yang boleh dipercayai,” tulis Zelenskiy di aplikasi pemesejan Telegram.
Pemimpin Eropah lain juga mengeluarkan mesej sokongan kepada Zelenskiy dan Ukraine selepas pertemuannya dengan Trump, menonjolkan perbezaan antara sekutu tradisional AS dan Eropah berhubung perang sejak Trump kembali ke pejabat.
Ahli politik kanan Rusia pula bertindak balas dengan gembira terhadap apa yang mereka lihat sebagai penghinaan di Rumah Putih terhadap Zelenskiy. Mereka menyatakan bahawa pemimpin Ukraine itu mendapat apa yang sepatutnya dan bantuan tentera AS kepada Kyiv mesti dipotong. – REUTERS








