Prestasi Justin membanggakan Jonassen

Prestasi Justin membanggakan Jonassen

sukan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Pengarah Kejurulatihan Perseorangan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Kenneth Jonassen sangat berpuas hati apabila anak buahnya, Justin Hoh berjaya melangkah ke pentas final Terbuka Macau selepas mempamerkan aksi yang cukup bertenaga di separuh akhir, hari ini.

Bagi Jonassen, beliau melihat Justin mempamerkan semangat juang yang sangat tinggi dan tidak cepat mengalah biarpun tewas di set pertama, namun pemain itu segera bangkit dalam dua set seterusnya.

Justeru, kemenangan itu sememangnya harus dibanggakan kerana ia juga merupakan final pertama buat pemain di ranking ke-45 dunia itu sejak menyertai siri kejohanan Super 300.

“Sangat gembira untuknya (Justin), dia memang layak mendapat kemenangan itu. Perlawanan hari ini memang sukar dengan pelbagai cabaran yang perlu diatasi.

“Syabas buat dirinya, dan juga penghargaan khas buat jurulatih Yogendran atas bimbingan sepanjang perlawanan,” katanya.

Kali terakhir Justin ke pentas final adalah pada Julai tahun lalu dan berjaya muncul juara di Terbuka Antarabangsa Saipan di Kepulauan Mariana Utara.

Terdahulu, pemain berusia 21 tahun itu mara ke perlawanan akhir selepas menewaskan wakil India, Tharun Mannepalli dalam pertarungan tiga set: 19-21, 21-16, 21-16 dalam masa 81 minit.

Di pentas akhir esok, Justin bakal berdepan cabaran sengit apabila bertemu pemain remaja Indonesia yang sedang meningkat naik, Alwi Farhan yang layak selepas mengalahkan pemain berpengalaman dari India, Lakshya Sen 21-16, 21-9 dalam masa 39 minit.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top