rnoraina@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Kerajaan mewujudkan PRISMAnita bagi memudahkan akses wanita kepada perkhidmatan bantuan yang lebih pantas, terselaras dan mesra mangsa khusus dalam menangani isu kekeluargaan termasuk keganasan rumah tangga.
Inisiatif dilaksanakan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) itu akan berfungsi sebagai pusat sehenti yang menyatukan pelbagai perkhidmatan bawah satu bumbung, bagi memastikan wanita mendapat bantuan tanpa halangan birokrasi.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, inisiatif itu bukan hanya penyediaan perkhidmatan tetapi memastikan ia tidak bergerak silo.
“Dalam Kerajaan Madani kini, kita menerima arus pembangunan moden dan pengaruh besar dari Barat. Ada yang positif tentunya, tapi ada juga gejala negatif antaranya keruntuhan nilai yang termasuk moral dan akhlak serta keruntuhan institusi keluarga. Kita melihat bahawa dengan kemodenan dan pengaruh Barat terdapat kemerosotan dalam nilai, etika serta keluarga.
“Oleh itu, kita berasa penting satu strategi dalam kerangka Madani untuk mengembalikan nilai. Mengapa kita memilih menjadi moden, terdedah kepada nilai Timur atau Barat, berinteraksi dengan semua tanpa prejudis, tetapi kita juga peka terhadap identiti sendiri dan memelihara nilai,” katanya berucap merasmikan Sambutan Hari Wanita Antarabangsa 2026 di sini, hari ini.
Turut hadir isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof; Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Datuk Seri Nancy Shukri; serta timbalannya, Lim Hui Ying.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, PRISMAnita akan memberikan sokongan menyeluruh merangkumi khidmat nasihat, rujukan serta penyelarasan kes bersama pelbagai pihak berkepentingan termasuk platform maklumat dan pemadanan perkhidmatan serta sokongan tatkala menghadapi krisis.
Katanya, PRISMAnita yang beroperasi melalui Pejabat Pembangunan Wanita Negeri (PPWN) di seluruh negara itu juga akan menjadi hub advokasi termasuk memberi kefahaman dan pelaksanaan Akta Anti Gangguan Seksual 2022, Akta Keganasan Rumahtangga 1994 serta peraturan lain berkaitan.
Dalam pada itu, beliau berkata, PRISMAnita juga memberikan insentif pengecualian cukai kepada badan korporat yang menaja caruman Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (Lindung Kasih).
Melalui mekanisme baharu ini, Yayasan Kebajikan Negara (YKN) akan bertindak sebagai badan perantara kepada syarikat atau pihak yang ingin menaja caruman skim terbabit.
Penajaan yang disalurkan melalui YKN melayakkan penyumbang menikmati
pengecualian cukai di bawah Subseksyen 44(6) Akta Cukai Pendapatan 1967.
Kerajaan menggalakkan lebih banyak syarikat swasta, badan korporat, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta individu untuk mengambil peluang ini bagi menaja caruman Lindung Kasih kepada wanita yang layak.
Kerajaan Madani akan terus memperkasa wanita melalui pelaksanaan Dasar Wanita Negara dan Pelan Tindakan Pembangunan Wanita 2025–2030, termasuk usaha memperluas peluang ekonomi, memperkukuh perlindungan sosial serta mewujudkan ekosistem pekerjaan yang lebih responsif dan inksif pada keperluan wanita.
© New Straits Times Press (M) Bhd




