PRK Ayer Kuning: Calon PAS dimuktamadkan Sabtu ini

PRK Ayer Kuning: Calon PAS dimuktamadkan Sabtu ini

am@hmetro.com.my

Kota Bharu: Calon PAS bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Ayer Kuning, Perak akan dimuktamadkan pada Sabtu ini.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, PAS Perak ada senarai nama beberapa calon dan ia akan dimuktamadkan selepas mesyuarat pada Sabtu ini.

Katanya, calon ini akan diangkat kepada PAS Pusat untuk dibincangkan dan calon yang dipilih mempunyai kriteria yang boleh menang.

“Sabtu ini kita akan muktamadkan (beberapa calon) dan kriterianya calon yang boleh menang. Bagi calon muda, kita juga akan pertimbangkan sebab lebih 40 peratus pengundi muda di bawah umur 40 tahun.

“Untuk pemilihan calon, sudah tentu kita akan terima pandangan daripada PAS Perak dan juga perbincangan dengan Perikatan Nasional (PN),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Forum Khas Bandar Raya Islam di Madinah Ramadan di Dataran Warisan, Stadium Sultan Muhammad IV di sini, hari ini. Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Kelantan, Hilmi Abdullah.

Ketika ditanya mengenai kenyataan Naib Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Mahfuz Omar yang menasihatkan PAS tidak membuang masa meletakkan calon bertanding dalam PRK Ayer Kuning, Takiyuddin berkata, PAS pantang berundur kerana itu adalah proses demokrasi.

Ahli Parlimen Kota Bharu itu berkata, AMANAH undur sebab memberi laluan kepada Barisan Nasional (BN) dan beliau tidak ada hal minta PAS undur daripada bertanding.

“Pas ada jiwa politik. Dalam kertas tidak semestinya berlaku yang sebenar kerana kedua-dua pihak (bertanding) mempunyai peluang (menang). Walaupun nampak kelebihan di pihak sana (BN), namun boleh jadi kelebihan di pihak sini (PAS).

“Kalau kita tengok pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), suasana Ayer Kuning berbeza dengan Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri. Pada PRU15 (Ayer Kuning) berlaku pertembungan tiga penjuru dan PRK ini dua penjuru,” katanya.

Sementara itu Takiyuddin berkata, PN akan menghantar surat kepada Kerajaan Pusat minggu ini berhubung isu peruntukan untuk ahli Parlimen pembangkang.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top