am@hmetro.com.my
Tapah: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menubuhkan pasukan Penguat Kuasa Kempen Pilihan Raya (PP-KPR) sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning.
Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun, dalam kenyataan hari ini, berkata penubuhan PP-KPR itu bertujuan memantau semua aktiviti calon yang bertanding pada PRK berkenaan.
Beliau juga berharap aktiviti berkempen dibuat dalam suasana harmoni serta mengikut undang-undang dan peraturan ditetapkan.
“Calon yang sudah membayar deposit bahan kempen pilihan raya tertakluk kepada undang-undang kecil mana-mana pihak berkuasa tempatan (PBT) seperti diperuntukkan di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 (Akta 5).
“Ia bertujuan mempamer dan mengedarkan bahan kempen pilihan raya mengandungi gambar calon, lambang atau simbol dan gambar pemimpin parti gabungan mahupun komponen secara bersama atau berasingan yang diwakilinya.
“Semua kaedah dan bahan kempen dibenarkan selagi tidak mengembangkan perasaan jahat, tidak puas hati, permusuhan atau berunsur perkauman dan menyentuh sensitiviti keagamaan, termasuk isu 3R serta tidak melanggar peruntukan Akta 5 dan undang-undang berkaitan,” katanya.
Ramlan berkata, tiada had ditetapkan kepada gambar parti yang bertanding dan pemimpin politik komponen, gabungan atau pakatan, pada bahan kempen pilihan raya.
“Gambar pemimpin parti politik pada bahan kempen, termasuk parti politik komponen berdaftar secara rasmi atau tidak, namun menyokong mahupun bersekutu calon parti politik bertanding boleh digabung atau diletakkan secara berasingan, tertakluk kepada bahagian pilihan raya calon atau parti politik terbabit bertanding.
“Pemimpin dimaksudkan adalah individu memiliki apa-apa jawatan di mana-mana peringkat dalam parti atau gabungan mahupun komponen berdaftar secara rasmi atau tidak,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




