PRK DUN Mahkota: Peluang hantar isyarat kepada kerajaan negeri

PRK DUN Mahkota: Peluang hantar isyarat kepada kerajaan negeri

am@hmetro.com.my

Kluang: Pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota perlu mengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) memandangkan ia adalah sebahagian kajian separuh penggal mengenai pemerintahan Barisan Nasional (BN) di Johor.

Ketua Pemuda UMNO Johor, Noor Azleen Ambros, berkata PRK DUN Mahkota memerlukan suntikan daripada pengundi mengenai pencapaian selepas Barisan Nasional (BN) mengambil alih tampuk pemerintahan daripada Pakatan Harapan (PH) dua tahun lalu.

Sekiranya ada isyarat jelas daripada pengundi untuk memenangkan calon BN, Noor Azleen percaya Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi mempunyai perancangan lebih besar untuk negeri ini.

“PRK ini boleh dianggap sebagai kajian separuh penggal yang mana pengundi boleh hantar isyarat kepada kerajaan negeri.

“Andai kata kalau mereka memberi sokongan padu, saya yakin itu merupakan satu suntikan dan juga isyarat jelas yang dihantar kepada menteri besar.

“Ini kerana Menteri Besar akan merencanakan lebih banyak perkara penting untuk memajukan Johor sekali gus memberi manfaat kepada rakyat,” katanya ketika ditemui di Bilik Gerakan BN, di Taman Sri Kluang di sini, hari ini.

Katanya lagi, andainya berlaku di sebaliknya, beliau bimbang perancangan kerajaan negeri akhirnya akan merugikan pengundi itu sendiri.

“Kita kena beritahu seluruh rakyat Johor bahawa inilah peluang untuk mereka meletak syarat kepada kerajaan negeri khususnya.

“PRK ini diadakan ketika pemerintahan BN memasuki dua tahun setengah selepas PRN (Pilihan Raya Negeri) Mac 2022.

“Orang DUN Mahkota boleh bantu orang Johor dengan cara keluar mengundi beramai-ramai. Kita beri sedikit keterujaan agar mereka dapat bantu Johor,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top