PRK Kinabatangan: Calon bebas akui gentar berdepan parti besar

PRK Kinabatangan: Calon bebas akui gentar berdepan parti besar

am@hmetro.com.my

Kinabatangan: Calon bebas, Goldam Hamid mengakui gentar berdepan saingan dengan dua parti utama yang bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kinabatangan, namun yakin rakyat lebih matang menilai calon yang mahu diketengahkan.

Goldam, 40, yang juga seorang peguam berkata, dia pertama kali bertanding dan mengambil keputusan memasuki gelanggang politik selepas melihat penyertaan dalam PRK itu cuma membabitkan dua parti, sekali gus menyediakan pilihan alternatif kepada pengundi untuk memilih pemimpin mereka.

Goldam berkata, beliau yakin kebijaksanaan pengundi Kinabatangan untuk menilai calon yang benar-benar mewakili suara rakyat biarpun berdepan saingan sengit daripada parti yang mempunyai kekuatan jentera.

“Siapa pun akan rasa gentar berdepan parti besar. Parti WARISAN pada pilihan raya lalu pun seperti yang kita lihat menang banyak kerusi.

“Tetapi saya percaya rakyat Kinabatangan cukup matang untuk menilai calon mana yang boleh mewakili mereka di peringkat Parlimen,” katanya ketika ditemui selepas proses penamaan calon di Pusat Penamaan Calon di Dewan Sri Lamag, di sini, hari ini.

Pada PRK ini, Goldam berdepan saingan daripada calon Barisan Nasional (BN), Mohd Naim Kurniawan Moktar dan calon Parti WARISAN, Datuk Saddi Abdul Rahman.

Goldam berkata, beliau berhasrat menjadi suara bebas memperjuangkan hak rakyat Sabah, khususnya tuntutan hak 40 peratus hasil negeri yang mana isu itu perlu disuarakan secara konsisten di Dewan Rakyat agar Persekutuan memahami hak sebenar rakyat negeri ini.

Beliau turut mengakui tiada mana-mana parti politik yang menawarkannya untuk menjadi calon mereka, sebaliknya beliau bertanding atas kapasiti bebas demi membawa isu rakyat ke peringkat Persekutuan.

“Kerajaan Pusat perlu tahu bahawa ini adalah tuntutan rakyat Sabah untuk mendapatkan semula hak mereka daripada hasil negeri,” katanya.

Goldam berkata, pengalamannya turun padang bertemu rakyat membuka mata terhadap pelbagai masalah asas yang masih membelenggu penduduk, termasuk isu tanah, infrastruktur, bekalan air, elektrik dan jalan raya.

Katanya, banyak kawasan pedalaman di Kinabatangan yang masih tiada kemudahan asas dan ia perlu diberi perhatian serius.

“Sepanjang kempen ini, fokus utama saya adalah bertemu seramai mungkin pengundi bagi menjelaskan asas perjuangan dan aspirasi yang saya mahu bawa ke Parlimen.

“Dalam tempoh sebelum pembubaran Parlimen, Sabah memerlukan wakil yang benar-benar bebas dan berani bersuara demi kepentingan rakyat,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top