PRK Kinabatangan, Lamag: Cuaca cerah bantu proses lancar pusat penamaan calon

PRK Kinabatangan, Lamag: Cuaca cerah bantu proses lancar pusat penamaan calon

am@hmetro.com.my

Kinabatangan: Suasana di Dewan Sri Lamag pagi ini tenang dengan cuaca cerah membantu melancarkan proses penamaan calon sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kinabatangan dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag.

Setakat 7.30 pagi ini, kelibat penyokong dilihat masih sedikit di sekitar pusat penamaan calon.

Turut kelihatan, anggota polis yang berkawal di dua laluan utama menuju ke pusat penamaan calon yang ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam PRK ini.

Difahamkan, penyokong parti berkumpul di kawasan lain sekitar pekan, sebelum berarak bersama calon masing-masing ke pusat penamaan calon kira-kira 8 pagi.

Proses penamaan calon akan berlangsung bermula 9 pagi hingga 10 pagi, diikuti dengan semakan borang pencalonan oleh pegawai pengurus pilihan raya.

Senarai calon yang bertanding dijangka akan diumumkan sebelum tengah hari ini.

SPR menetapkan hari pengundian bagi PRK Parlimen Kinabatangan dan DUN Lamag pada 24 Januari, manakala hari pengundian awal pada 20 Januari.

PRK ini diadakan susulan kematian penyandang kerusi terbabit, Datuk Seri Bung Moktar Radin akibat kegagalan fungsi buah pinggang dan jangkitan paru-paru pada 5 Disember lalu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top