am@hmetro.com.my
Kluang: Enam laporan polis diterima dan empat kertas siasatan dibuka sepanjang tempoh berkempen sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (Dun) Mahkota sejak 14 September lalu.
Ketua Polis Johor Komisioner M Kumar berkata, siasatan membabitkan Seksyen 4a Akta Pilihan Raya 1954, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) dan Seksyen 500 Kanun Keseksaan.
“PDRM komited dalam memastikan setiap laporan disiasat secara menyeluruh dan tindakan sewajarnya diambil bagi menjamin kelancaran proses pilihan raya serta keselamatan awam,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Taklimat Khas Pilihan Raya Kecil Dun Mahkota di Sekolah Menengah Sains Sembrong, di sini, hari ini yang turut dihadiri Ketua Polis Daerah Kluang Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh.
Mengenai permit dikeluarkan sepanjang tempoh kempen, katanya, 166 permohonan permit dikeluarkan, membabitkan 47 permohonan ceramah, 78 siar raya dan 41 jelajah mesra.
Dalam pada itu, Kumar memaklumkan, 1,399 pegawai dan anggota polis akan bertugas bagi mengawal dan memastikan kelancaran proses pengundian di 20 pusat mengundi, esok.
Beliau berkata, pasukan itu akan ditempatkan di lokasi strategik dalam menjamin keselamatan awam selain mengawal lalu lintas bagi mengelak kesesakan.
“Setiap saluran akan ditempatkan seorang anggota, manakala dalam jarak 50 meter dari pusat mengundi, 10 anggota ditugaskan memantau situasi, selain anggota polis trafik serta Ops Cantas,” katanya.
Beliau turut memberi jaminan bantuan segera akan diberikan sekiranya ada pusat pengundian terbabit banjir.
© New Straits Times Press (M) Bhd




