PRK Mahkota: Gara-gara tertinggal MyKad, pengantin baharu nyaris tidak dapat mengundi

PRK Mahkota: Gara-gara tertinggal MyKad, pengantin baharu nyaris tidak dapat mengundi

am@hmetro.com.my

Kluang: Gara-gara mengejar masa, seorang pengantin perempuan hampir tidak dapat menunaikan tanggungjawab mengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota hari ini, kerana terlupa membawa kad pengenalan.

Bagaimanapun, Nurarissa Shazni Kamal, 27 bernasib baik apabila rakannya bergegas pulang ke rumah untuk mendapatkan dokumen penting itu.

Nurarissa Shazni kemudian menunaikan tanggungjawab itu di Pusat Daerah Mengundi (PDM) di Sekolah Agama Gunung Lambak di sini, dengan lengkap berbusana pengantin.

Beliau berkata, suaminya, Mohammad Hafizzudin Anaffiah, 27 sudah mengundi lebih awal di Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Tengah pada 12 tengah hari, manakala dia bergegas ke PDM itu selepas majlis persandingan tamat.

“Perasaan kami memang sangat teruja dan gembira walaupun sebenarnya keletihan kerana majlis pernikahan dari pagi hingga persandingan tengah hari dan selepas ini saya perlu bergegas ke sesi fotografi,” katanya.

Sementara itu, Mohammad Hafizzudin yang bekerja eksekutif operasi di sebuah syarikat swasta berkata, mereka sudah mengenali satu sama lain sejak di bangku persekolahan dan mula rapat pada 2022.

“Saya bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Aris Bendahara dan isteri di SMK Sultan Abdul Jalil.

“Saya yang mulakan langkah dahulu dan mengajaknya bernikah. Kami hanya mengambil masa tiga bulan untuk membuat persiapan majlis perkahwinan ini dan memang tak sangka berlangsung ketika PRK DUN Mahkota,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top