PRK Mahkota: Peluang BN menang 50-50 – Ketua Wanita DAP

PRK Mahkota: Peluang BN menang 50-50 – Ketua Wanita DAP

am@hmetro.com.my

Kluang: “Saya masih fikir peluang Barisan Nasional (BN) menang 50-50, sebab itu kita perlu minta semua pengundi keluar dan buat pilihan yang bijak,” kata Ketua Wanita DAP, Teo Nie Ching.

Timbalan Menteri Komunikasi itu berkata, justeru pihaknya akan berbuat sehabis baik walaupun kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Mahkota disandang BN sebelum ini.

“Saya rasa bagaimana kita mendekati pengundi muda atau pengundi wanita amat penting dan menjadi tanggungjawab kita untuk mendekati mereka.

“Bagi saya, kita perlu mendapatkan sokongan semua lapisan masyarakat tanpa mengira umur, jantina dan kaum.

“Jadi kita akan buat sehabis baik untuk menyantuni setiap lapisan masyarakat dengan mengadakan dialog dan memahami isu mereka serta menjelaskan hala tuju Kerajaan Perpaduan dan negeri.

“Jadi siapa yang dapat sokongan lebih tinggi, kami akan tunggu keputusannya pada 28 September ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membuat lawatan di Pusat Sebaran Maklumat Nasional (Nadi) di Taman Ilham di sini, hari ini.

Sebelum ini, Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man dilaporkan berkata, pihaknya yakin pengundi muda masih memberikan undi kepada Perikatan Nasional (PN) seperti yang berlaku dalam pilihan raya sebelum ini.

Beliau berkata, maklumat itu berdasarkan data terkini yang diperolehi pihaknya di kawasan pilihan raya itu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top