PRK Nenggiri: Muda belum buat keputusan untuk bertanding

PRK Nenggiri: Muda belum buat keputusan untuk bertanding

am@hmetro.com.my

Kota Bharu: Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) masih membincangkan sama ada untuk bertanding atau sebaliknya dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Nenggiri pada 17 Ogos nanti.

Setiausaha Agung Muda, Amir Hariri Abd Hadi berkata, perkara berkenaan sedang dibincangkan di peringkat jawatankuasa eksekutif pusat parti dan masih belum membuat sebarang keputusan.

Menurutnya, Muda juga mengambil kira pandangan daripada akar umbi khususnya kepimpinan peringkat negeri yang akan mengadakan perbincangan pada masa terdekat.

“Setakat ini, ramai dalam kalangan kepimpinan Muda di Kelantan yang berkaliber bukan sahaja di peringkat jawatankuasa eksekutif negeri, malah di peringkat akar umbi juga.

“Andai kata Muda turut masuk bertanding dalam PRK Nenggiri, kita akan menghantar calon yang terbaik,” katanya kepada pemberita ketika sidang media, malam tadi.

Katanya, bagaimanapun jika Muda tidak bertanding, mereka boleh memainkan peranan sebagai sebuah parti politik sama ada dalam sudut menyampaikan aspirasi, tuntutan, atau cadangan yang boleh diambil daripada parti yang bertanding.

“Sebagai contoh, ketika PRK Kuala Kubu Baharu baru-baru ini, walaupun Muda tidak bertanding dalam pilihan raya itu, namun kami ada mengeluarkan beberapa cadangan serta tuntutan untuk dibawa dalam PRK berkenaan dan ingin melihat parti-parti bertanding turut membincangkan mengenai isu itu,” katanya.

Apabila ditanya adakah Muda akan membantu mana-mana calon atau parti dalam PRK Nenggiri, beliau berkata perkara berkenaan perlu dibincangkan di peringkat jawatankuasa eksekutif pusat dan juga bersama jawatankuasa eksekutif negeri.

“Jadi saya tidak boleh beritahu sama ada kita akan bantu mana-mana calon atau tidak.

“Ada banyak kemungkinan boleh berlaku, sama ada kita letak calon atau menyampaikan aspirasi atau membantu mana-mana calon yang dirasakan sesuai untuk dibantu, namun ia masih belum diputuskan lagi,” katanya

Media sebelum ini melaporkan, PRK Nenggiri diadakan selepas Yang Dipertua DUN Kelantan, Datuk Mohd Amar Abdullah pada 19 Jun lalu mengumumkan kekosongan kerusi selepas Mohd Azizi Abu Naim digugurkan keahlian BERSATU apabila menyokong Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pada PRN yang berlangsung pada Ogos tahun lalu, Mohd Azizi menang dengan majoriti 810 undi apabila mendapat 6,517 undi berbanding calon Barisan Nasional (BN), Ab Aziz Yusoff yang memperoleh 5,707 undi.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top