‘PRN 2022 bukan ukuran sebenar, ramai pengundi Johor di Singapura tak dapat mengundi’ – Jimmy Puah

‘PRN 2022 bukan ukuran sebenar, ramai pengundi Johor di Singapura tak dapat mengundi’ – Jimmy Puah

 

JOHOR BAHRU — Barisan Nasional (BN) agar tidak terlalu yakin dengan kedudukan politik mereka di Johor susulan desas-desus mengenai kemungkinan pilihan raya negeri (PRN) semakin hangat diperkatakan.

Naib Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Johor, Jimmy Puah Wee Tse berkata, BN tidak seharusnya menjadikan keputusan PRN Johor 2022 sebagai gambaran mutlak sokongan rakyat ketika ini kerana pilihan raya tersebut berlangsung dalam keadaan luar biasa pasca pandemik.

“PRN Johor 2022 berlangsung dalam suasana politik yang sangat luar biasa. Pada ketika itu, kesan pandemik masih belum pulih sepenuhnya, dan ramai pengundi Johor yang bekerja di Singapura tidak dapat pulang mengundi dengan mudah.

“Keadaan ini jelas memberi kesan kepada kadar keluar mengundi serta komposisi pengundi secara keseluruhan,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Ahli Parlimen Tebrau itu menjelaskan gambaran sentimen rakyat yang lebih tepat sebenarnya boleh dilihat menerusi keputusan Pilihan Raya Umum (PRU) 2022 apabila PH memenangi majoriti kerusi Parlimen di Johor.

Katanya, jika keputusan PRU itu diterjemahkan kepada kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), PH secara bersendirian memperoleh 32 kerusi iaitu jumlah mencukupi untuk membentuk kerajaan negeri.

Beliau menegaskan keadaan itu membuktikan rakyat Johor bukan “simpanan tetap” mana-mana parti politik dan BN tidak boleh terus hanyut dengan kemenangan PRN lalu sehingga tersilap menilai sokongan semasa rakyat.

Dalam masa sama, Jimmy mengingatkan bahawa rakyat kini sedang berdepan tekanan kos sara hidup, cabaran ekonomi serta ketidaktentuan global yang memerlukan perhatian serius kerajaan.

Menurutnya, keutamaan ahli politik ketika ini seharusnya tertumpu kepada usaha menstabilkan ekonomi, menarik pelaburan dan memperbaiki kehidupan rakyat, bukannya mencetuskan pilihan raya mengejut demi percaturan politik tertentu.

“Rakyat Johor tahu membezakan siapa yang benar-benar bekerja dan siapa yang hanya mahu merebut kuasa; siapa yang mempertahankan kestabilan dan siapa yang mencipta risiko politik yang tidak perlu,” katanya.

Beliau turut menegaskan Johor memerlukan pentadbiran yang stabil, pragmatik dan berpandangan jauh demi memastikan masa depan rakyat lebih terjamin.

 

 

Scroll to Top