PRN Johor: BN bentuk kerajaan menang lebih 40 kerusi

PRN Johor: BN bentuk kerajaan menang lebih 40 kerusi

PETALING JAYA: Barisan Nasional (BN) menang di lebih 40 kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16.

Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, berdasarkan keputusan tidak rasmi itu menunjukkan ia sebagai mandat jelas rakyat terhadap kepimpinan Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Ia sekali gus menjadi amanah baharu untuk membentuk kerajaan negeri yang lebih cemerlang dan menunaikan setiap janji kepada rakyat.

Katanya, kemenangan tersebut merupakan pengiktirafan rakyat terhadap pencapaian kerajaan negeri sepanjang empat tahun tiga bulan mentadbir Johor selain menjadi antara rekod terbaik yang pernah dicapai BN di negeri itu.

“Dengan kejayaan ini kami tidak bermegah, kami insaf dengan rendah diri dengan kerajaan dibentuk bahawa pentadbiran penggal ini dilaksanakan lebih baik melalui segala janji dipenuhi sebelum ini

“Saya mengucapkan tahniah kepada Datuk Onn Hafiz Ghazi, kepimpinan BN dan UMNO Johor serta semua calon yang berjaya dipilih,” katanya ketika berucap di Bilik Gerakan Utama BN PRN Johor di sini malam ini.

Ahmad Zahid berkata, kerajaan negeri yang bakal dibentuk akan terus menjalinkan kerjasama erat dengan Kerajaan Perpaduan di Putrajaya bagi memastikan setiap perancangan pembangunan dapat dilaksanakan demi manfaat rakyat Johor dan negara.

“Kita berharap segala perancangan pelbagai agenda pembangunan, sekali gus merealisasikan hasrat menjadikan Johor negeri maju menjelang 2030,” katanya.

Tambahnya, kemenangan itu menjadi titik permulaan kepada penyatuan rakyat Johor selepas perbezaan politik sepanjang tempoh pilihan raya serta mencetuskan gelombang sokongan kepada BN menjelang pilihan raya negeri lain, termasuk di Negeri Sembilan dan Melaka.

Terdahulu, BN didakwa mendahului di 49 Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam keputusan tidak rasmi PRN Johor.-UTUSAN

Scroll to Top