KUALA LUMPUR – Keputusan Parti Bersama yang dipimpin Datuk Seri Rafizi Ramli bertanding di 15 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor berpotensi memecahkan undi penyokong Pakatan Harapan (PH), sekali gus memberi kelebihan kepada Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN).
Pengarah Institut Kajian Politik Malaysia (MAPAN), Profesor Madya Dr Mashitah Mohd Udin berkata, dalam sistem pilihan raya first-past-the-post, risiko berlakunya pecah undi adalah sesuatu yang nyata.
Menurut beliau, sekiranya sebahagian penyokong PH yang kecewa terhadap Kerajaan Madani memilih Bersama sebagai undi protes, sokongan terhadap PH boleh terjejas sekali gus meningkatkan peluang BN atau PN, khususnya di kerusi majoriti tipis.
“Dari sudut ini, kehadiran Bersama memang boleh meletakkan PH, khususnya PKR, dalam kedudukan lebih mencabar.
“Strategi Bersama juga menarik kerana parti itu tidak hanya bergantung kepada populariti Rafizi semata-mata. Sebaliknya, ia mempertaruhkan calon daripada pelbagai latar belakang seperti doktor, peguam, arkitek, usahawan muda, profesional minyak dan gas, penggiat masyarakat, aktivis, pengurus kemudahan, bekas petugas pusat khidmat rakyat serta anak muda Felda.
“Pendekatan ini memberi mesej bahawa politik bukan hanya milik elit parti,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, Bersama turut cuba mengangkat standard integriti dalam pilihan raya apabila semua 15 calonnya diminta mengisytiharkan harta, pendapatan, hutang dan perbelanjaan menerusi akuan bersumpah.
Katanya, calon parti itu juga menandatangani aku janji integriti termasuk komitmen untuk tidak melompat parti.
“Malah, Bersama turut mengetengahkan kutipan dana awam secara terbuka bagi membuktikan politik boleh digerakkan melalui sumbangan rakyat, bukan semata-mata bergantung kepada dana daripada kelompok berkepentingan,” katanya.
Menurut Mashitah, pemilihan 15 kerusi yang ditandingi juga dilihat strategik kerana tertumpu di kawasan bandar, separa bandar dan koridor ekonomi Johor Selatan seperti Johor Bahru, Tebrau, Pasir Gudang, Iskandar Puteri dan Kulai.
Beliau berkata, kawasan seperti Johor Jaya, Stulang, Perling, Skudai, Kota Iskandar, Bukit Batu dan Senai mempunyai pengundi bandar yang lebih peka terhadap isu kos sara hidup, perumahan, peluang pekerjaan, kesesakan lalu lintas, integriti dan prestasi wakil rakyat.
“Pada masa sama, Bersama bukan sahaja mencabar PH, malah turut bertanding di kawasan yang mempunyai pengaruh BN dan PN. Ini sekali gus mengelakkan persepsi bahawa parti itu hanya mahu melemahkan PH.
“Sebaliknya, Bersama mahu menampilkan dirinya sebagai alternatif kepada landskap politik sedia ada,” katanya.
Bagaimanapun, beliau mengakui parti baharu itu tetap berdepan cabaran besar kerana lazimnya kekurangan jentera, kurang dikenali pengundi dan belum mempunyai akar umbi yang kukuh.
“Persoalannya, adakah populariti Rafizi mampu diterjemahkan kepada sokongan terhadap calon tempatan? Adakah pengundi mengenali calon Bersama dalam tempoh kempen yang singkat?
“Adakah pengisytiharan harta dan kutipan dana awam mencukupi untuk menandingi kekuatan jentera parti-parti yang lebih lama bertapak?” katanya.
Mengulas lanjut, Mashitah berkata, kemunculan Bersama perlu dilihat sebagai isyarat amaran kepada PH.
Katanya, sekiranya benar terdapat penyokong PH yang memilih Bersama sebagai undi protes, gabungan itu tidak memadai sekadar menyalahkan faktor pecah undi.
“PH perlu menilai mengapa sebahagian penyokongnya kecewa dan memujuk mereka kembali melalui prestasi pentadbiran, agenda reformasi serta keyakinan terhadap kerajaan.
“Bagi BN dan PN pula, kehadiran Bersama mungkin memberi kelebihan taktikal sekiranya undi anti-BN atau anti-PN berpecah. Namun, mereka juga tidak boleh terlalu selesa kerana dalam pertandingan banyak penjuru, parti kecil mampu menjadi penentu keputusan,” katanya.
Beliau berkata, walaupun Bersama belum tentu memenangi kerusi, parti itu berpotensi menentukan pihak yang akan tewas.
“Kesimpulannya, kemunculan Bersama dalam PRN Johor bukan sekadar isu pecah undi, sebaliknya menjadi ujian terhadap penerimaan rakyat terhadap politik baharu.
“Dengan menampilkan calon berwibawa, pengisytiharan harta, tapisan integriti dan kutipan dana awam secara terbuka, Bersama sedang mencabar standard yang diamalkan parti-parti lama.
“Nilai sebenar Bersama bukan hanya diukur melalui jumlah kerusi yang dimenangi, tetapi sejauh mana ia mampu memaksa semua parti memberi perhatian kepada isu calon, integriti, ketelusan pembiayaan politik dan suara rakyat.
“Dalam landskap politik Johor yang semakin kompetitif, kehadiran Bersama menjadikan pertandingan lebih terbuka, lebih mencabar dan sukar diramal,” katanya.



