SHAH ALAM – Pas menetapkan pendirian untuk mempertahankan kuasa politik Melayu Islam di Johor dan menggerakkan seluruh jentera parti di 11 kerusi yang ditandingi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, ketetapan itu diputuskan dalam Mesyuarat Khas Pas Pusat yang diadakan pada Isnin.
“Pas juga akan menyantuni seramai mungkin pengundi dari segenap lapisan masyarakat dengan slogan ‘Jom Jaga Johor’.
“Pengundi diseru tidak memberikan undi kepada Pakatan Harapan, termasuk di kerusi yang menyaksikan pertembungan dua penjuru melibatkan Barisan Nasional dan Pakatan Harapan,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Selain itu, beliau berkata, Pas juga akan menggerakkan persiapan awal bagi menghadapi PRN Negeri Sembilan.
“Kembali kepada penyelesaian Islam,” katanya.



