PRN Johor: Pas seru anak muda bantu PN, elak kemenangan PH

PRN Johor: Pas seru anak muda bantu PN, elak kemenangan PH

SHAH ALAM – Pas menyeru pengundi khususnya golongan muda di Johor supaya keluar mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan memberi sokongan kepada calon Perikatan Nasional (PN) terutama di 11 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditandingi parti itu.

Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, penglibatan anak muda amat penting memandangkan pelaksanaan Undi18 memberi peluang lebih ramai pengundi muda menentukan hala tuju politik negeri.

“Saya nak menyeru khususnya kepada anak muda sebab pilihan raya negeri sebelum ini undi 18 tahun belum dilaksanakan dan anak muda belum menunjukkan sokongan mereka.

“Pada kali ini kita harapkan anak muda keluar beramai-ramai pastikan anda mengundi calon-calon daripada PN yang mewakili 11 DUN yang kita bertanding.

“Kita harapkan di tempat-tempat PN tidak bertanding, sebagaimana telah saya nyatakan sebelum ini, bawalah sokongan anda kepada Barisan Nasional (BN) bagi mengelakkan Pakatan Harapan (PH) memenangi pilihan raya di Johor,” katanya menerusi rakaman video yang dimuat naik di Facebook pada Khamis.

Beliau berkata, penyatuan orang Melayu dan umat Islam perlu diterjemahkan melalui sokongan serta undi pada hari pengundian nanti.

Katanya, penyokong PN di kawasan yang tidak ditandingi gabungan itu digalakkan memberi sokongan kepada BN, manakala penyokong parti lain pula diharap dapat menyokong calon Pas di 11 kerusi yang ditandingi parti tersebut.

“Kalau sekiranya di 23 DUN yang PN tidak bertanding kita beri undi kepada BN, apa salahnya di 11 DUN yang Pas bertanding pula rakan-rakan kita beri undi kepada Pas untuk mewakili PN.

“Ia bagi mewakili PN dalam konteks jadi semak dan imbang terbaik. Apa yang penting ialah kita mengelakkan PH daripada memenangi pilihan raya di Johor ini,” katanya.

Beliau juga mengingatkan pengundi supaya memilih pemimpin yang berakhlak, berintegriti dan mempunyai rekod berkhidmat bersama rakyat, selain meneliti latar belakang setiap calon sebelum membuat keputusan.

Tuan Ibrahim berkata, Pas yakin calon-calon yang diketengahkan telah melalui proses pemilihan dan penelitian parti sebelum ditawarkan kepada rakyat Johor.

Dalam masa sama, beliau turut menggesa anak-anak Johor yang berada di luar negeri supaya pulang menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi.

PRN Johor menyaksikan BN dan PH masing-masing mempertaruhkan 56 calon, PN (33), Bersama (15), MUDA (empat), Parti Orang Asli Malaysia (Asli) (satu), Parti Sosialis Malaysia (PSM) (satu) serta enam calon Bebas.

Pas bertanding di 11 kerusi DUN selepas kajian parti itu mendapati kawasan berkenaan mempunyai potensi terbaik untuk dimenangi.

PRN Johor dijadual berlangsung pada 11 Julai ini, manakala pengundian awal akan diadakan pada 7 Julai.

Scroll to Top