am@hmetro.com.my
Johor Bahru: Pengumuman Barisan Nasional (BN) Johor bertanding secara solo pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang dilihat memberi isyarat jelas bahawa ruang kerjasama politik dengan Pakatan Harapan (PH) di negeri ini sudah tertutup.
Pengerusi PH Johor, Aminolhuda Hassan berkata pengumuman Pengerusi BN Johor, Datuk Onn Hafiz itu juga menunjukkan parti itu tidak lagi berminat meneruskan kerjasama dengan PH.
“Bila dia kata nak bertanding 56 kerusi, dia sendiri yang menentang. Sebelum konvensyen lagi, Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) Johor, Suhaizan Kaiat sudah melontarkan persoalan sama ada kerjasama BN-PH boleh dilaksanakan di Johor untuk pilihan raya.
“Tetapi sebelum konvensyen, mereka sudah keluarkan kenyataan begitu, maknanya dia sendiri yang menutup pintu. Dia sendiri isytiharkan tiada kerjasama dengan PH,” katanya ketika ditemui pada Konvensyen PH 2026 di Pusat Perdagangan Antarabangsa Johor (Persada) hari ini.
Ditanya sama ada PH masih terbuka untuk meneruskan hubungan dengan BN di Johor, Aminolhuda berkata, pihaknya tidak mahu dilihat terlalu mengharapkan kerjasama tersebut.
“Kita tidak mahu ibarat hidung tak mancung, pipi tersorong-sorong,” katanya.
Beliau turut mengakui pendirian BN Johor itu secara tidak langsung memudahkan hala tuju PH menjelang konvensyen dan PRN akan datang.
Bagaimanapun, beliau berkata hubungan antara PH dan BN di peringkat Persekutuan masih kekal baik seperti ditegaskan pimpinan pusat kedua-dua gabungan.
“Bagi peringkat Persekutuan, seperti yang disebut (Datuk Seri Dr) Ahmad Maslan, jangan risau kerana kita masih bersama lagi,” katanya.
Terdahulu, Onn Hafiz yang juga Menteri Besar Johor dilaporkan mengumumkan BN Johor akan bertanding di kesemua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada PRN akan datang selepas mengambil kira pandangan rakyat Johor serta suara kepimpinan akar umbi UMNO dan BN negeri.
© New Straits Times Press (M) Bhd




