Pontian: UMNO Johor belum membuat sebarang ketetapan berhubung bentuk kerjasama atau pengagihan kerusi bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Timbalan Pengerusi UMNO Johor Datuk Seri Dr Ahmad Maslan berkata, setakat ini, tiada rundingan rasmi dibuat sama ada pada peringkat negeri mahupun pusat berkaitan perkara itu.
“Johor belum membuat keputusan mengenai keadaan kita bertanding dalam PRN. Belum ada keputusan dibuat,” katanya kepada Bernama.
Ahmad berkata, setiap parti mempunyai hak menyatakan pandangan masing-masing mengenai jumlah kerusi yang ingin ditandingi selagi rundingan rasmi belum dimuktamadkan.
“Apabila rundingan dibuat dan dipersetujui oleh pimpinan parti masing-masing, maka keputusan itulah yang akan diikuti,” katanya.
Pada PRN lalu, PH memenangi 12 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), Barisan Nasional (40), Perikatan Nasional (tiga) dan MUDA satu kerusi.
Baru-baru ini, PKR dan Amanah masing-masing mengumumkan telah mengenal pasti 28 dan 20 kerusi untuk ditandingi pada PRN akan datang.
Dalam pada itu, Ahmad turut menyatakan sokongan bagi cadangan supaya PRN di beberapa negeri diadakan secara serentak bagi mengurangkan kos serta mengelakkan tempoh politiking yang berpanjangan.
Cadangan itu, katanya, melibatkan kemungkinan PRN di Johor, Melaka dan Sarawak diadakan pada masa sama.
“Jika pilihan raya diadakan secara berasingan dalam tempoh beberapa bulan, ia akan menyebabkan politiking berpanjangan. Jadi, ada cadangan supaya tiga negeri ini diadakan serentak bagi mengurangkan kos dan tempoh berpolitik,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




