PRN Melaka: Ab Rauf dilantik Pengarah Pilihan Raya BN

PRN Melaka: Ab Rauf dilantik Pengarah Pilihan Raya BN

am@hmetro.com.my

Ayer Keroh: Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dilantik sebagai Pengarah Pilihan Raya Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16.

Perkara itu diumumkan Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Induk BN bagi PRN Melaka Ke-16 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di sini malam tadi.

“Saya mengumumkan Datuk (Seri) Rauf adalah Pengarah Pilihan Raya BN Negeri Melaka.

“Sebelum ini Tok Mat (Datuk Seri Mohamad Hasan), tetapi beliau sebagai Menteri Luar agak sibuk, kebetulan pula ketika kempen PRN berjalan nanti, beliau mempunyai tugasan di luar negara, termasuk menghadiri mesyuarat negara Komanwel dan juga tugas mewakili negara bagi mesyuarat serantau, khususnya Sidang Kemuncak ASEAN di Manila dan juga di beberapa negara yang lain.

“Jadi saya mengesahkan dan mesyuarat tadi ‘endorse’ (memperakukan), tiada orang lain beliau sahaja (Rauf),” katanya.

Untuk rekod, Mohamad yang juga Timbalan Pengerusi BN pernah menggalas tanggungjawab sebagai Pengarah Pilihan Raya gabungan itu di peringkat nasional termasuk menyelaras persiapan jentera bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Beliau turut mengetuai gerak kerja pilihan raya BN ketika PRN Melaka pada 2021 dan PRN Johor pada 2022.

Sementara itu, Ab Rauf yang juga Pengerusi BN Melaka menzahirkan penghargaan atas kepercayaan yang diberikan kepadanya dan bertekad menyempurnakan tanggungjawab diberi sebaik mungkin bersama barisan kepemimpinan parti.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top