PRN Melaka: BN, PN meterai persefahaman politik

PRN Melaka: BN, PN meterai persefahaman politik

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Barisan Nasional (BN) hari ini memeterai perjanjian persefahaman politik dengan Perikatan Nasional (PN) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16, bulan depan.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, perjanjian itu ditandatangani beliau mewakili BN, manakala PN diwakili Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan disaksikan Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Asyraf Wajdi berkata, perjanjian yang ditandatangani di Menara Dato Onn, petang tadi itu diabsahkan pada Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO malam ini, selain MKT turut bersetuju BN dan PN melancarkan Manifesto Pilihan Raya bersama, dijangka pada Sabtu ini, selepas proses penamaan calon PRN Melaka.

“MKT UMNO bersetuju sebulat suara untuk mengabsahkan kerjasama dan persefahaman politik dengan rakan strategik PAS dan rakan daripada PN bagi menghadapi PRN Melaka ke-16.

“MKT turut bersetuju untuk BN dan PN melancarkan Manifesto Pilihanraya bersama bagi menawarkan khidmat yang terbaik kepada rakyat untuk meneruskan kecemerlangan perkhidmatan dan pembangunan negeri oleh kerajaan negeri Melaka sebelum ini,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat MKT UMNO di Menara Dato Onn di sini, malam ini.

Sabtu lalu, BN mengumumkan 21 calon mewakili gabungan itu pada PRN Melaka Ke-16, dengan menampilkan lapan muka baharu dan mengekalkan 13 calon sedia ada.

Calon berkenaan membabitkan 18 calon daripada UMNO, dua MCA dan satu MIC, manakala tujuh lagi kerusi diserahkan kepada rakan strategik yang bekerjasama dalam PRN berkenaan.

Asyraf Wajdi berkata, MKT UMNO turut mengarahkan supaya seluruh jentera dan penyokong parti membantu sepenuh hati dan memberikan sokongan padu kepada semua calon PN, yang bakal bertanding di tujuh kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Pada masa sama, pimpinan dan jentera parti digesa mengamalkan kempen pilihan raya secara berhemah dan berakhlak tanpa perlu terjebak dengan sebarang perbuatan memfitnah, mengeji ataupun memaki-hamun parti lawan.

Ditanya sama ada Parti Wawasan Negara (WAWASAN) akan turut bertanding mewakili PN pada PRN itu, Asyraf Wajdi berkata, perkara itu diserahkan sepenuhnya kepada PN.

“Kita serahkan kepada mereka, terserah calon yang bakal ditentukan di tujuh DUN yang disepakati dalam perjanjian persefahaman dengan BN.

“Jadi, muktamadnya BN akan bertanding 21 kerusi termasuk dua MCA dan satu MIC dan tujuh kerusi PN,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi BN Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, mesyuarat MKT malam tadi turut membincangkan mengenai penyelarasan gerak kerja jentera kempen untuk PRN Melaka.

“Kita beri tumpuan kepada kawasan yang kita bertanding, termasuk Ahli MKT yang menjadi ‘bapa angkat’ (kawasan) bagi membantu jentera untuk memastikan setiap undi amat penting bagi mempertahankan kawasan ini,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top