PRN Melaka: Calon termuda PH, Farzana Hayani tekad selesai isu rakyat di DUN Klebang

PRN Melaka: Calon termuda PH, Farzana Hayani tekad selesai isu rakyat di DUN Klebang

am@hmetro.com.my

Melaka: Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Klebang, Farzana Hayani Mohd Nasir, 26, tekad menjadikan isu rakyat setempat sebagai agenda utama.

Beliau berkata, beberapa isu utama di Klebang dikenal pasti menuntut penyelesaian termasuk masalah banjir berlarutan, infrastruktur jeti nelayan serta pemerkasaan ekonomi suri rumah dan anak muda.

“Di Klebang kita ada pesawah, nelayan, golongan muda dan wanita. Buat masa ini, saya fokuskan kepada empat isu utama ini.

“Contohnya untuk nelayan di Kampung Pinang, kita kenal pasti masalah sistem perparitan dan infrastruktur. Bagi kawasan kerap banjir seperti kawasan Murni, Kampung Seberang Gajah dan Bukit Rambai, kita akan laksanakan langkah penyelesaian.

“Manakala bagi wanita dan belia, fokus kita adalah membantu menambah pendapatan suri rumah serta mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan,” katanya ketika ditemui pada sesi walkabout di Taman Nirwana, di sini, semalam.

Pada masa sama, Farzana mengakui berdepan cabaran besar daripada pesaing yang berpengalaman, namun bersedia menggalas tanggungjawab sekiranya diberi mandat.

Beliau yang juga calon wanita termuda PRN Melaka kali ini berkata, pengalaman bertanding di kerusi Sungai Rambai pada PRN lalu dijadikan panduan berharga untuk memastikan persediaan jentera kali ini jauh lebih teratur dan kukuh.

“Pertembungan empat penjuru memang cabarannya besar, lagi-lagi saya bertembung dengan orang-orang lama dan saya seorang saja calon wanita muda di Klebang.

“Tetapi insya-Allah, kita akan bekerja dengan lebih kuat untuk memenangkan Klebang.

“Sebagai anak jati Bukit Rambai di bawah DUN Klebang, saya bawakan pengalaman lalu untuk kita terapkan di sini dan tingkatkan usaha mendekati pengundi,” katanya.

Katanya, gerak kerja juga telah dilakukan sejak awal lagi dengan mengadakan pelbagai program kemasyarakatan membabitkan masjid dan surau di Klebang.

Pada PRN Melaka 2021, Pengerusi MCA Melaka, Datuk Lim Ban Hong memenangi kerusi DUN Klebang dengan 5,028 undi, menewaskan calon PKR, Datuk Gue Teck dengan 4,152 undi dan calon PN, Bakri Jamaluddin yang memperoleh 3,884 undi.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top