Pintu rundingan kerjasama antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka masih terbuka, kata Pengerusi PKR Melaka, Adam Adli Abdul Halim.
Sifatkan kenyataan Akmal satu pendirian peribadi
Memetik laporan daripada Berita Harian, beliau menyifatkan pendirian peribadi Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh yang lebih memilih kerjasama BN dengan Perikatan Nasional (PN) berbanding PH, bukanlah keputusan muktamad sehingga menutup ruang rundingan.

Belum ada rundingan rasmi
Adam Adli menambah, pertemuan dengan Pengerusi BN Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh sebelum ini hanya menyentuh hala tuju serta kesan terhadap hubungan kerajaan negeri dan Persekutuan selepas PH Melaka menarik sokongan terhadap kerajaan negeri.
Menurutnya, rundingan rasmi antara pimpinan PH dan BN berhubung kerjasama menghadapi PRN Melaka dijangka menyusul, namun tarikh pertemuan belum ditetapkan.
“Belum ada rundingan rasmi. Sebelum ini hanya ada perbincangan biasa berkait dengan hala tuju masing-masing pihak dan kesannya terhadap hubungan negeri dan Persekutuan.
“Bagaimanapun, beberapa pertemuan antara pimpinan PH akan diadakan selepas ini. Memang sentiasa ada pertemuan, cuma belum ada sebarang rundingan berkait pilihan raya. Kita cuma periksa `suhu’ sahaja
“Berkenaan pendirian yang dinyatakan oleh Dr Muhamad Akmal, dalam politik semua ada pendekatan dan pendirian masing-masing. Ia bebas untuk ditafsir oleh semua pemerhati,” katanya.

Sebelum ini, Dr Muhamad Akmal dilaporkan menegaskan penyatuan dua parti terbesar Melayu diperlukan bagi menghadapi pilihan raya, sekali gus memberi isyarat beliau lebih cenderung kepada kerjasama BN dengan PN berbanding PH.
“Pendirian Pemuda UMNO tetap sama sejak daripada sebelum ini. Orang Melayu perlu disatukan dan dua perti terbesar Melayu juga perlu disatukan,” katanya.
PKR sedia hadapi segala kemungkinan
Sementara itu, Adam Adli berkata PH khususnya PKR sentiasa bersiap sedia menghadapi segala kemungkinan sekiranya tiada ruang untuk bekerjasama dengan BN pada PRN Melaka akan datang.
“Mendepani pilihan raya negeri kali ini, kita ada beberapa pilihan. Tidak semestinya perlu ada penggabungan antara semua parti politik. Tetapi kita tidak mahu memberikan mesej yang salah kepada pengundi.
“Kalau ada rundingan, kalau mahu berunding, kita akan maklumkan secara terbuka dan kita tidak berselindung. Sebab itu muncul laporan-laporan mengenai rundingan, kerana memang perkara itu sedang diusahakan oleh semua pihak,” katanya.

Sebelum ini, Ketua Penerangan PKR, Datuk Seri Fahmi Fadhli dilaporkan berkata PKR Melaka telah mengadakan beberapa perbincangan bersama Ab Rauf berkaitan persiapan menghadapi PRN.
PH turut membentuk jawatankuasa rundingan yang diketuai Pengarah Pilihan Raya PH, Datuk Seri Amiruddin Shaari dan Ketua Setiausaha PH, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail bagi membincangkan kerjasama dengan BN Melaka.
Sumber: Berita Harian (Fahmy A Rosli)

