am@hmetro.com.mmy
Melaka: Manifesto yang ditawarkan Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16 semakin diterima rakyat.
Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Muhammad Kamil Abdul Munim berkata, pihaknya melihat terdapat manifesto yang dibentangkan Selasa lalu menunjukkan lonjakan positif.
“Setakat ni, Alhamdulillah kita tengok ada lonjakan. Ada anjakan dengan beberapa peristiwa yang berlaku dalam tempoh seminggu dua ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui di sesi dialog bersama persatuan nelayan di Jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Kuala Linggi bersama Calon PH Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Linggi Mukhlis Mubin.
Bagaimanapun, Kamil berkata, berbaki tempoh seminggu berkempen, jentera PH perlu memperjelas dan memperkemaskan kekuatan di peringkat akar umbi selain menyusun strategi bagi meyakinkan pengundi untuk menunaikan tanggungjawab.
“Insya-Allah dalam beberapa tempoh seminggu ini kita perlu perjelaskan, perkemas dan susun kekuatan jentera di bawah, strategi meyakinkan rakyat untuk keluar mengundi dalam perayaan pesta demokrasi di Melaka pada tahun ini.
“Pembabitan (keluar mengundi) yang ramai akan memberi satu isyarat dan juga satu keadaan yang baik untuk mengangkat atau memulih kerajaan di Melaka,” katanya.
Pada 3 November lalu, PH mengemukakan tiga teras utama dan 12 aspirasi menerusi manifesto dikenali sebagai ‘Aspirasi Melaka Rumah Kita’ yang menawarkan hala tuju pembangunan serta meningkatkan kesejahteraan rakyat negeri itu.
© New Straits Times Press (M) Bhd




