PRN Melaka: MCA kekal bersama BN, 4 kerusi bukti kesepakatan – Ahmad Zahid

PRN Melaka: MCA kekal bersama BN, 4 kerusi bukti kesepakatan – Ahmad Zahid

am@hmetro.com.my

Masjid Tanah: Pembahagian empat kerusi kepada MCA untuk ditandingi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka adalah bukti kesepakatan dan kebersamaan parti itu bersama Barisan Nasional (BN).

Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, berkata keputusan itu sekali gus menepis tanggapan MCA akan memboikot PRN Melaka atau merajuk isu susulan pembahagian kerusi.

Beliau berkata, MCA sebaliknya kekal bersama BN dan diberikan peluang untuk menawarkan calon di empat kerusi.

“Ini adalah adalah satu manifestasi kebersamaan. Ramai yang menjangkakan kononnya MCA mahu memboikot pilihan raya ini, atau sekurang-kurangnya mereka merajuk tetapi tidak berlaku begitu.

“Sebaliknya MCA sudah diberikan empat kerusi,” katanya selepas mengiringi calon BN Tanjung Bidara yang juga Ketua Menteri, Datuk Seri Rauf Ab Yusoh.

Mengulas mengenai cabaran ditentang MCA di kubu kuat lawan di Bandar Hilir dan Kota Laksamana, Ahmad Zahid berkata, mereka akan berkerja keras bagi memastikan kemenangan di kawasan itu.

“Dalam kesepakatan ini, kita akan bekerja keras untuk menentukan semua kerusi yang ditandingi memperoleh kemenangan.

“… atau sekurang-kurangnya mengurangkan majoriti di kerusi yang kita kalah dulu,” katanya.

Katanya, BN dan Perikatan Nasional (PN) akan bertanding di keseluruhan 28 kerusi DUN pada PRN Melaka, dengan UMNO bertanding 18 kerusi, MCA (4) dan MIC satu kerusi, manakala baki kerusi ditandingi rakan dalam PN.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top