PRN Melaka medan suara rakyat tentang CSA PH-Bersatu – Pemuda Pas

PRN Melaka medan suara rakyat tentang CSA PH-Bersatu – Pemuda Pas

SHAH ALAM – Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka bakal menjadi medan bagi rakyat menyuarakan pendirian terhadap Perjanjian Keyakinan dan Perbekalan (CSA) antara Pakatan Harapan (PH) dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), selain memperkukuh agenda penyatuan ummah menerusi Muafakat Melaka.

Ketua Pemuda Pas, Afnan Hamimi Taib Azamudden berkata, Perikatan Nasional (PN) sudah membuat pendirian yang jelas menolaknya.

“Undian rakyat Melaka akan meneguhkan penolakan terhadap cara politik tidak beretika oleh PH termasuklah sekutu barunya, Bersatu.

“PRN Melaka akan menjadi medannya. Rakyat Melaka lebih percayakan penyatuan ummah atas nama Muafakat Melaka dan mereka juga menolak perjanjian tempang CSA PH dan Bersatu,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Menurutnya, pemimpin PH terus menerus mempertahankan CSA, kononnya suatu perjanjian persefahaman politik tetapi lebih kepada memanjangkan nyawa politik PH yang kian rapuh.

Beliau berkata, pihaknya tidak perlukan CSA sebaliknya pemberian peruntukan kepada Ahli Parlimen sepatutnya dilaksanakan tanpa syarat kerana perkara itu adalah tanggungjawab yang mesti ditunaikan oleh parti pemerintah.

“Sekali Ayah Chik (Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang) ‘cuit’ menyamakannya dengan perangai dajjal, semua bangkit membentak. Apa tidaknya, memanipulasi keadaan dengan ultimatum yang jelas.

“Kalau tidak tanda tangan CSA, tiada peruntukan disalurkan, ini bukan perjanjian persefahaman untuk menjaga kestabilan negara sebagaimana era Datuk Seri Ismail Sabri (bekas Perdana Menteri).

“Ini perjanjian untuk tunduk kepada penipuan dan manipulasi yang dibuat oleh pemimpin PH. Ia ibarat menyerah dan menerima kerosakan pentadbiran yang dilakukan oleh kepimpinan Kerajaan Madani,” katanya.

Menurut beliau, ironinya mereka mahu pembangkang dimandulkan dengan perjanjian yang sangat tidak cermat, rasional dan matang.

Ujarnya, realitinya, semua orang boleh membaca apa yang tersirat di sebalik perjanjian CSA tersebut.

“Hal itu menandakan suatu pakatan yang lebih kukuh PH dan Bersatu walaupun seringkali pemimpin Bersatu berdolak dalik untuk mengesahkannya,” katanya.

Scroll to Top