am@hmetro.com.my
Alor Gajah: Keberkesanan formula kerjasama Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16 bergantung kepada pemindahan undi penyokong kedua-dua gabungan itu.
Bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin, berkata kerjasama politik berkenaan perlu diterjemahkan kepada sokongan pengundi, khususnya apabila calon daripada parti yang mereka sokong tidak bertanding di kawasan tertentu.
Katanya, formula berkenaan yang sebelum ini menyaksikan kemenangan di Negeri Sembilan akan diuji sekali lagi di Melaka bagi melihat penerimaan pengundi.
“Yang pertama yang saya sebutkan tadi kita letakkan calon yang mesra dengan pengundi tempatan. Strategi kedua kita, seperti mana yang kita semua tahu adalah melihat sejauh mana gabungan kita bersama dengan PAS dan juga parti-parti yang bersama dengan PAS di bawah apa yang masih dikenali sebagai Perikatan Nasional (PN) ini, boleh menghasilkan kemenangan kali kedua.
“Negeri Sembilan sudah menang. Jadi, kita nak tengok kalau formula itu boleh diterima dan boleh menghasilkan kemenangan. Maksudnya pengundi PAS bagi kepada calon BN, di mana PAS ataupun WAWASAN bertanding pengundi penyokong BN bagi kepada mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui ketika mengiringi calon BN Dewan Undangan Negeri (DUN) Rembia, Azril Aziz, pada kempen PRN Melaka, di sini, hari ini.
Beliau berkata, kerjasama politik tidak akan memberi kesan sekiranya tiada pemindahan undi antara penyokong parti yang terbabit.
“Tak guna kita ada strategi dan kerjasama tetapi tidak ada pemindahan pengundi. Maksudnya kalau tak nampak calon daripada parti yang anda menyokong, tapi nampak parti yang ada kerjasama tu, bagilah kepada calon itu.
“Di sini contohnya, di Rembia yang dulu menyokong PAS ataupun yang dulu menyokong PN, sokonglah calon BN kerana mereka tak bertanding di sini,” katanya.
Khairy berkata, kejayaan formula berkenaan di Negeri Sembilan diharap dapat diterima pengundi di Melaka dan berpotensi menjadi petunjuk kepada kerjasama politik pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
“Kalau kita tengok dari segi formula itu, kalau dah boleh dipakai di Negeri Sembilan Insya-Allah akan diterima di Melaka.
“Ini sekali lagi mungkin akan menjadi satu pendahuluan kepada apa yang mungkin boleh berlaku pada PRU nanti,” katanya.
Dalam pada itu, Khairy berkata, BN turut memberi penekanan kepada pemilihan calon yang dikenali dan mempunyai hubungan rapat dengan masyarakat setempat.
“Jadi ini strategi kita untuk meletakkan calon-calon yang orang dah kenal, dan mereka pun kenal orang ramai di kawasan setempat. Saya rasa itu antara pendekatan yang pertama, yang paling utama daripada BN,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




