asyikin.mat@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Pakatan Harapan (PH) akan memuktamadkan senarai calon bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka sebelum pengumuman rasmi pada 24 Oktober ini.
Pengarah Pilihan Raya PH, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, senarai calon berkenaan akan diputuskan bersama Perdana Menteri merangkap Presiden PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan pimpinan utama parti sebelum tarikh pengumuman itu.
“Kita sudah mengenal pasti calon itu sejak dua tahun lalu yang terdiri daripada pelbagai latar belakang, termasuk golongan muda, berpengalaman dan mempunyai kerjaya.
“Ada calon muda, ada calon berusia, berpengalaman dalam politik, bekerjaya dan semestinya berusia 18 tahun ke atas,” katanya kepada media selepas majlis Inovasi Semikonduktor Generasi Baharu Malaysia: Enam Cip Buatan Tempatan di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Amirudin berkata, beliau yakin calon PH yang bertanding mempunyai peluang untuk menang dalam pilihan raya berkenaan, namun keputusan akhir ditentukan pengundi.
“Saya yakin menang (calon PH), insya-Allah. Menang atau kalah ditentukan oleh pengundi,” katanya.
Pada 22 September lalu, Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh mengumumkan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka berkuat kuasa 23 September.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 31 Oktober sebagai tarikh penamaan calon, 10 November bagi pengundian awal dan 14 November sebagai hari mengundi.
PRN Melaka ke-15 diadakan pada 2021 selepas empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang menyokong kerajaan menarik sokongan terhadap kepemimpinan bekas Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali, pada 4 Oktober 2021.
Dalam pilihan raya itu, Barisan Nasional (BN) memenangi 21 daripada 28 kerusi DUN, manakala PH memperoleh lima kerusi dan Perikatan Nasional (PN) dua kerusi.
© New Straits Times Press (M) Bhd




