MASJID TANAH – Tanggapan bahawa wanita hanya perlu berada di rumah untuk menguruskan suami dan anak-anak tidak seharusnya menjadi penghalang kepada golongan itu untuk turut menyumbang dalam kepimpinan dan pembangunan masyarakat.
Itu pendirian calon Pakatan Harapan (PH)-Amanah bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Taboh Naning, Junainah Sahat atau lebih mesra disapa Ajue Sahat, yang mahu membuktikan wanita juga mampu menggalas tanggungjawab sebagai pemimpin tanpa mengabaikan keluarga.
Junainah, 41, berkata, keputusan menerima amanah sebagai calon pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka kali ini turut didorong sokongan padu suaminya, Hafiz Omar yang sentiasa memberikan ruang dan semangat untuk beliau aktif dalam politik serta kerja kemasyarakatan.
Menurutnya, sokongan itu sudah diterima sejak awal penubuhan Parti Amanah Negara (Amanah), kira-kira 11 tahun lalu, sekali gus menjadi kekuatan untuk terus berbakti kepada masyarakat.
“Perempuan tempatnya di rumah, jaga suami dan anak. Tak sesuai memimpin!
“Itulah antara kata-kata yang mudah dilemparkan oleh mereka yang masih memandang rendah terhadap kemampuan dan peranan wanita.
“Namun, saya percaya menjadi seorang wanita, isteri dan ibu bukan penghalang untuk memimpin. Kita boleh menjalankan tanggungjawab terhadap keluarga, dalam masa sama menyumbang kepada masyarakat. Kedua-duanya bukan untuk dipertentangkan,” katanya.

Junainah (tiga dari kiri) pada hari penamaan calon, Sabtu lalu.
Beliau yang mempunyai enam anak berusia antara tujuh hingga 16 tahun berkata, perjalanan sebagai calon bukan mudah kerana memerlukan pengorbanan masa serta kebijaksanaan mengimbangi tanggungjawab keluarga dan masyarakat.
Bagaimanapun, katanya, suaminya tidak pernah menjadikan komitmen terhadap keluarga sebagai penghalang, malah lebih bersemangat melihat beliau menyahut amanah berkenaan.
“Di sebalik langkah seorang wanita yang berani, kadangkala ada seorang lelaki yang tidak pernah berhenti percaya kepada kemampuannya.
“Terima kasih suamiku, Hafiz Omar. Terima kasih kerana sentiasa percaya, merestui dan berdiri teguh di belakang saya.
“Doakan saya terus kuat memikul amanah ini. Semoga segala usaha dan pengorbanan kita menjadi asbab kebaikan buat keluarga, masyarakat dan seluruh warga Taboh Naning,” katanya.

Junainah disamping suami dan anak-anak.
Junainah yang bekerja sebagai peniaga memiliki Diploma Eksekutif dalam Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan dari Universiti Teknologi MARA (UiTM).
PRN Melaka ini, Junainah bakal berdepan penyandang, Datuk Zulkiflee Mohd Zin daripada Barisan Nasional (BN)-UMNO dalam pertandingan dua penjuru di DUN Taboh Naning yang mempunyai 11,299 pengundi berdaftar.
Sebagai rekod, pada PRN Melaka 2021, Zulkiflee memenangi kerusi berkenaan dalam pertandingan tiga penjuru dengan memperoleh 3,170 undi dan majoriti 1,825 undi.
Beliau menewaskan calon Perikatan Nasional (PN), Abu Hashim Abdul Samad yang memperoleh 1,345 undi, manakala calon PH, Zairi Suboh mendapat 1,024 undi.
Taboh Naning merupakan kubu kuat BN yang mempunyai rekod kemenangan yang konsisten.
Pada 2018, sokongan BN merosot dan majoriti mengecil kepada 740 undi namun pada 2021, BN kembali mencatat kemenangan lebih besar dengan majoriti 1,825 undi.



