am@hmetro.com.my
Seremban: Istana Negeri Sembilan menasihatkan semua parti politik supaya tidak mengaitkan institusi itu dalam ceramah dan kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan Ke-16.
Pengelola Bijaya Diraja Istana Negeri Sembilan, Datuk Azizi Mohamad Ali berkata, Istana Negeri Sembilan ingin menegaskan, Institusi Diraja sentiasa menjunjung prinsip berkecuali dan tidak terbabit dengan mana-mana parti atau kegiatan politik.
“Institusi Raja adalah payung perpaduan rakyat yang berperanan memelihara keharmonian, kestabilan serta kesejahteraan negara.
“Sehubungan itu, Institusi Diraja sentiasa menjunjung prinsip berkecuali dan tidak berpihak kepada mana-mana parti politik.
“Sebarang dakwaan, kenyataan, gambar, video atau bahan yang mengaitkan Istana Negeri Sembilan, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku, atau mana-mana Ahli Kerabat Diraja dengan mana-mana parti politik adalah tidak benar,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Beliau berkata, Istana Negeri Sembilan menasihatkan semua calon parti politik yang bertanding di dalam Pilihan Raya Negeri mengelak daripada memainkan isu berkaitan 3R dan sentiasa berkempen secara berhemah, beretika dan mematuhi undang-undang demi memelihara keharmonian negeri ini.
Azizi berkata, Istana Negeri Sembilan menghargai kerjasama semua pihak dalam memastikan Institusi Diraja terus dihormati dan dipelihara daripada sebarang salah tafsir atau eksploitasi bagi kepentingan mana-mana pihak.
“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak menyebarkan atau mempercayai maklumat yang tidak disahkan serta sentiasa merujuk kepada saluran rasmi Istana Negeri Sembilan bagi mendapatkan maklumat yang sahih,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




