SEREMBAN – Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan seharusnya menjadi medan demokrasi untuk rakyat menentukan masa depan negeri, bukannya platform menyemai kebencian atau memainkan sentimen perkauman, agama dan institusi diraja.
Pengarah Komunikasi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, parti-parti yang bertanding sewajarnya bersaing menerusi idea, dasar, rekod pencapaian serta penyelesaian terhadap isu yang membelenggu rakyat.
“Malangnya, sepanjang kempen ini, kita masih melihat cubaan oleh sesetengah pihak memainkan sentimen perkauman yang sempit dan menyebarkan fitnah untuk mengalih perhatian daripada isu sebenar yang dihadapi rakyat, iaitu kos sara hidup dan ekonomi.
“Apabila sebuah parti ketandusan idea, mereka sanggup menjual kebencian dan perpecahan. Sebuah parti yang yakin dengan rekod serta tawarannya akan menawarkan harapan berdasarkan fakta, bukti dan pencapaian,” katanya pada sidang media Pakatan Harapan (PH) di sini pada Ahad.
Beliau berkata, PH memilih untuk menawarkan harapan berasaskan fakta dan pencapaian kerana rakyat Negeri Sembilan mahukan penyelesaian terhadap isu yang dihadapi, bukannya politik yang memecah-belahkan masyarakat.
Menurutnya, rakyat mahukan lebih banyak peluang pekerjaan bergaji tinggi diwujudkan, peluang memiliki rumah sendiri untuk golongan muda serta langkah berkesan bagi meringankan kos sara hidup.
“Selain itu, rakyat mahu tahu bagaimana ekonomi negeri boleh terus berkembang dan manfaatnya sampai kepada semua. Inilah persoalan yang sepatutnya dijawab oleh semua parti yang bertanding.
ARTIKEL BERKAITAN: ‘Ada sesuatu yang tak kena dalam Kerajaan Perpaduan’ – KJ
‘Kerjasama UMNO, Pas mampu bentuk Kerajaan Selangor’ – Noh Omar
‘Selepas Johor, parti Rafizi akan dimalukan lagi di Melaka’ – Penganalisis
‘Menggelupur sangat bila kita nak bersatu’ – Akmal Saleh bidas AMK
PH tawar manifesto yang bukan sekadar janji – Aminuddin
SPR keluar 13,263 kertas undi pos bagi PRN Negeri Sembilan
Tiada arahan letak jawatan, hanya kekalkan disiplin dan profesionalisme – Fahmi Fadzil
“Namun hakikatnya, politik berteraskan kebencian dan ketakutan yang cuba memecah-belahkan masyarakat tidak membuka peluang pekerjaan.
“Politik perkauman tidak menurunkan harga barang, fitnah tidak membina rumah mampu milik, manakala hasutan tidak membawa masuk pelaburan baharu,” katanya.
Justeru, beliau menyeru semua parti politik supaya menghormati Undang-Undang Pilihan Raya dan memastikan baki tempoh kempen berlangsung secara matang, berhemah serta berasaskan fakta.
Katanya, semua parti perlu bertanding berasaskan dasar, rekod, prestasi dan mengemukakan cadangan serta penyelesaian kepada rakyat.
“Jangan bertanding atas dasar kebencian yang cuba memecah-belahkan ataupun menimbulkan rasa takut dalam kalangan rakyat. Negeri Sembilan selama ini dikenali sebagai negeri yang aman dan harmoni.
“Jangan rosakkan perpaduan yang telah dibina sekian lama semata-mata kerana kepentingan politik sempit. Pada 1 Ogos, rakyat akan membuat pilihan yang amat besar.
“Pilihan antara politik yang menyatukan rakyat atau politik yang memecah-belahkan kita. Pilihan antara fakta atau fitnah. Antara kepimpinan yang bekerja atau politik yang hanya mencipta persepsi kebencian,” katanya.



