KUALA PILAH – Sentimen penerimaan pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pilah terhadap calon Pakatan Harapan (PH) adalah amat positif, berdasarkan rekod perkhidmatan mentadbir kerajaan serta kerja keras jentera pada peringkat akar umbi.
Penasihat Kanan Politik kepada Perdana Menteri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, hasil tinjauan dan maklum balas pengundi di lapangan menunjukkan, masyarakat tempatan menghargai pelbagai usaha serta bantuan yang disalurkan oleh penyandang kerusi berkenaan Datuk Noorzunita Begum Mohd Ibrahim, sepanjang berkhidmat sebagai wakil rakyat di kawasan itu.
“Sebelum sampai (Kuala Pilah) pun kita ada buat analisis dan pertemuan di lapangan. Ya sentimen atau penerimaan pengundi di sini terhadap calon kita adalah tinggi. Namun begitu, kita tidak bolehlah terlalu yakin atau selesa, sebaliknya kerja-kerja kempen dan khidmat kepada rakyat ini mesti diteruskan berterusan.
“Insya-ALLAH DUN Pilah ini akan dapat kita pertahankan,” katanya kepada pemberita selepas menyertai Noorzunita Begum berkempen di sekitar Pekan Kuala Pilah, hari ini.
Pada program tinjauan mesra itu, Tengku Zafrul dan Noorzunita Begum bersama-sama jentera parti bertemu para pengundi dengan bertanyakan isu setempat, cadangan serta mendengar keluh-kesah yang dihadapi mereka, termasuk isu pembangunan yang mereka mahukan.
Tengku Zafrul berkata, prestasi ekonomi Negeri Sembilan berada pada landasan yang kukuh, dengan jumlah pelaburan mencecah RM19 bilion dan rizab kerajaan negeri melebihi RM1 bilion, sekali gus membuktikan keberkesanan tadbir urus dan kestabilan pentadbiran di bawah Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun, perlu dikekalkan.
Mengulas mengenai fokus pembangunan di Kuala Pilah, Tengku Zafrul yang juga Ex-Officio Biro Politik PKR berkata, keutamaan perlu diberikan kepada penyediaan peluang pekerjaan berkualiti dan profesional buat golongan Gen Z, supaya mereka dapat membina kerjaya tanpa perlu berhijrah jauh dari kampung halaman.
Beliau berkata, Kerajaan Madani memandang serius usaha merapatkan jurang pembangunan ekonomi antara kawasan bandar utama dengan kawasan luar bandar serta kampung tradisi.
“Kuala Pilah mempunyai potensi besar. Walaupun limpahan ekonomi sesetengah kawasan adalah secara tidak langsung, kita sentiasa merangka strategi untuk menarik pelaburan baharu dan meluaskan liputan pembangunan ekonomi secara lebih saksama ke seluruh Negeri Sembilan,” katanya.
Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16, Noorzunita Begum yang bertanding mewakili PKR, akan ditentang calon Barisan Nasional (BN) S Leza Md Yasin bagi merebut kerusi DUN Pilah.
Sementara itu, Noorzunita Begum berkata, kempen yang memasuki hari kelapan hari ini, menyaksikan gerak kerja jenteranya telah menyantuni sebahagian besar kawasan penempatan dan akan menumpukan perhatian penuh ke kawasan kampung-kampung tradisi sepanjang minggu depan.
“Hampir keseluruhan kawasan telah kita masuk. Untuk minggu depan fokus utama kita ialah turun ke kawasan kampung-kampung, bagi memastikan setiap lapisan mayarakat disantuni dan mendengar visi pembangunan yang akan kita bawakan,” katanya.
Beliau juga mengharapkan sokongan pengundi terhadap PH dan bertekad untuk terus menjadi jurucakap utama dalam memperjuangkan isu-isu kebajikan rakyat khususnya membabitkan Gen-Z, pendidikan dan warga emas di kawasan itu.
Ditanya hasil sepanjang sesi tinjauan mesra hari ini, beliau berkata pengundi di lapangan menunjukkan permintaan tinggi daripada golongan belia tempatan terhadap peluang pekerjaan dalam bidang profesional.
Menurut daftar Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang dikemas kini 4 Jun, Pilah yang merupakan satu daripada lima DUN yang terletak dalam Parlimen Kuala Pilah, mempunyai keseluruhan 18,034 pengundi berdaftar membabitkan 17,775 pengundi biasa dan 259 anggota polis dan pasangan.
Pekan Kuala Pilah yang terletak di bahagian tengah negeri Negeri Sembilan, di antara bandar Seremban dan Bahau ini mempunyai 8,925 (49.49 peratus) pengundi lelaki dan 9,109 (50.51 peratus) pengundi perempuan, sekali gus menunjukkan taburan pengundi yang hampir seimbang antara kedua-dua kumpulan.
Pengundian awal bagi PRN Negeri Sembilan ditetapkan pada 28 Julai, manakala hari pengundian 1 Ogos – Bernama



