Kota Kinabalu: Barisan Nasional (BN) mengumumkan 41 calon dengan 80 peratus daripadanya adalah muka baharu yang akan bertanding pada Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) Sabah, 29 November ini.
Kerusi Dewan Undangan (DUN) bakal ditandingi BN ialah Banggi, Bengkoka, Pitas, Tanjung Kapor, Pintasan, Tempasuk, Usukan, Sulaman, Pantai Dalit, Karambunai, Darau, Tanjung Keramat, Kawang, Pantai Manis, Bongawan, Membakut, Klias, Kuala Penyu dan Lumadan.
Selain itu Kundasang, Karanaan, Paginatan, Liawan, Nabawan, Sook, Telupid, Sugut, Labuk, Sungai Manila, Sungai Sibuga, Sekong, Lamag, Sukau, Tungku, Silam, Kunak, Bugaya, Balung, Apas, Tanjung Batu dan Sebatik.
Daripada jumlah itu, hanya 20 peratus calon muka lama dengan lima daripada mereka adalah penyandang.
Lima calon berkenaan ialah Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin yang menyandang kerusi DUN Lamag, Datuk Jafri Arifin (Sukau), Datuk Harun Durabi (Bengkoka), Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak (Usukan), dan Datuk Yakub Khan (Karambunai).
Empat calon merupakan Ahli Parlimen pula ialah Bung Moktar selaku Ahli Parlimen Kinabatangan yang akan bertanding di kerusi DUN Lamag; Ahli Parlimen Libaran, Datuk Suhaimi Nasir (Sungai Sibuga); Ahli Parlimen Kimanis, Datuk Mohamad Alamin (Bongawan); dan Ahli Parlimen Pensiangan, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup (Sook).
Mohamad yang juga Timbalan Menteri Luar, adalah calon bertanding semula. Begitu juga calon kerusi DUN Pitas, Datuk Bolkiah Ismail.
Kedua-dua mereka pernah menyandang kerusi berkenaan sebelum ini.
Senarai calon BN itu diumumkan Bung Moktar selaku Pengerusi BN Sabah, di sini, hari ini.
Sementara itu, tiga calon wanita adalah antara 80 peratus muka baharu terbabit.
Mereka ialah Normalah Rasick yang dinamakan sebagai calon kerusi DUN Banggi, Laiji Ompongoh (Nabawan), dan Saleha Wahid (Tungku).
Selebihnya, Kevin Lee Sip Kim (Tanjong Kapor), Tadzul Radim (Pintasan), Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan (Tempasuk), Dr Shahnon Rizal Thaijuddin (Sulaman).
Selain itu, Alfian Sambas (Pantai Dalit), Arfansyah Abdul Gafar (Darau), Jeffry Nor Mohamed (Tanjung Keramat), Datuk Jamal Norubit (Kawang), dan Reduan Ismail (Pantai Manis).
Seterusnya, Rusman Dulamit (Membakut), Osin Jilon (Klias), Datuk Awang Aslee Lakat (Kuala Penyu), Datuk Mohd Nazri Abdullah (Lumadan), Japirin Sahadi (Kundasang), Nadzimin Kamin (Karanaan), Datuk Junaidi Sahat (Paginatan), Nik Mohd Nadzri Nik Zawawi (Liawan), Benedict Asmat (Telupid), Mohammad Ariffin Pachuk (Sugut), dan Yusof Latif (Labuk).
Turut dinamakan ialah Zaini Tiksun (Sungai Manila), Mohd Zharif Aizat Samsuddin (Sekong), Sharif Musa Sharif Mabul (Silam), Datuk Seri Anil Jeet Singh (Kunak), Abdul Manan Indanan (Bugaya), Erwan Palate (Balung), Dr Elmiariezan Adran (Apas), Samasudin Yusop (Tanjong Batu) dan Aslan Fadli Samsul Alang (Sebatik).
Bung Moktar berkata, senarai calon BN itu bagaimanapun belum muktamad kerana dijangka ada lagi kerusi tambahan diumumkan selepas ini.
Katanya, dua calon yang dikemukakan BN kali ini juga adalah doktor perubatan.
Mereka ialah Dr Shahnon Rizal yang dijangka mencabar Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, di kerusi DUN Sulaman.
Seorang lagi ialah Dr Elmiariezan yang bakal mencabar Ketua Penerangan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Nizam Abu Bakar Titingan, di kerusi DUN Apas.
© New Straits Times Press (M) Bhd




