am@hmetro.com.my
Tanjong Karang: Agihan kerusi bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) sudah 98 peratus selesai.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, kerjasama dan perbincangan diadakan bagi mengelakkan ‘overlapping’ kerusi yang bertanding kelak.
“Ini yang kita lakukan di Sabah. Secara umumnya saya boleh katakan BN dan PH 98 peratus selesai (agihan kerusi) dan ada 2 peratus sahaja belum.
“Kerjasama inilah yang memenangkan kita di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota, Johor; Ayer Kuning, Perak dan Nenggiri, Kelantan,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Tanjong Karang, hari ini.
Hadir sama, Ketua UMNO Bahagian Tanjong Karang, Datuk Sulaiman Abdul Razak.
Dalam pada itu, Asyraf Wajdi mengingatkan parti supaya tidak terlalu bongkak dan angkuh dalam usaha bekerjasama dengan sesiapa.
“UMMO ini parti yang bersifat terbuka dan dinamik, asalkan jangan sesekali menggadaikan prinsip perjuangan demi agama dan bangsa,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd