Kinabatangan: Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag di sini, menyaksikan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin bakal berdepan persaingan enam penjuru.
Bung Moktar dicabar calon daripada Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Johainizamshah Johari; Mohd Saifulah Lokman (WARISAN); Mazlin Madali (Perikatan Nasional); Salahuddin@Salehuddin Anoi (Parti Impian Sabah) dan calon Bebas, Mohd Ismail Ayob.
Bung Moktar yang juga Ketua UMNO Sabah mempertahankan kerusi DUN Lamag yang dimenanginya sejak PRN16.
Senarai calon bertanding itu diumumkan oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Yuesri Ismail Yusof bermula jam 10.50 pagi selepas proses penamaan calon di Dewan Sri Lamag ditutup jam 10 pagi.
Terdahulu, sejurus pusat penamaan calon dibuka jam 9 pagi, Bung Moktar menyerahkan borang pencalonannya jam 9.02 pagi.
Sebelum itu, anggota dan pegawai polis melakukan kawalan keselamatan di pusat penamaan calon seawal jam 6.30 pagi bagi memastikan proses penamaan calon berjalan lancar.
Pemimpin dan penyokong parti pula dilihat mula berkumpul seawal jam 7.30 pagi bagi memberi sokongan moral kepada bakal calon masing-masing.
Bung Moktar diiringi Setiausaha UMNO Sabah, Datuk Jafry Ariffin yang juga calon BN bagi kerusi DUN Sukau.
Selain DUN Lamag, penamaan calon bagi dua lagi kerusi DUN dalam Parlimen Kinabatangan iaitu Sukau dan Kuamut turut berpusat di sini.
DUN Sukau menyaksikan pertandingan tujuh penjuru membabitkan Jafry (BN), Datuk Juhari Janan (GRS); Pengiran Petra Pengiran Asri (PN); Azahari Rangon (WARISAN); Roslan Madali (PIS); Afiq Anwari Zulkifli daripada Parti Kebangsaan Sabah (PKS) dan Nordin Damit daripada Perjuangan Rakyat (PR).
Bagi kerusi DUN Kuamut pula, penyandang kerusi itu, Datuk Masiung Banah (GRS) bakal dicabar Mohina Ronnie Sidom daripada Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Norfaizah Chua (WARISAN), Ted Kelvin Sudin (PIS), Jevronnie Mandek daripada Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Abu Bakar Ellah daripada Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM), John Sungkiang daripada Parti Perpaduan Rakyat Sabah (PPRS) dan calon bebas, Duin Bintarang.
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan hari pengundian pada 29 November ini dengan tarikh mengundi awal masing-masing pada 25 November.
© New Straits Times Press (M) Bhd




