PRN Sabah: Isu air penentu pengundi membuat keputusan esok – Kajian

PRN Sabah: Isu air penentu pengundi membuat keputusan esok – Kajian

Kota Kinabalu: Keupayaan sesebuah parti untuk menyelesaikan isu bekalan air sekiranya dipilih sebagai kerajaan, menjadi antara penilaian utama pengundi dalam menentukan pilihan mereka pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17.

Penyelidik Unit Kajian Elektoral dan Geopolitik Borneo (GeoPES), Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof Madya Dr Nordin Sakke berkata kajian melibatkan 3,000 responden yang juga pengundi mendapati, 57.1 peratus percaya parti yang bakal mereka pilih berupaya menyelesaikan masalah bekalan air.

Beliau berkata gangguan bekalan air merupakan isu paling signifikan, dengan 68.3 peratus responden menganggapnya sebagai masalah paling serius, diikuti tekanan air rendah atau “air semput-semput” dengan 18.1 peratus.

Selain keupayaan parti, keikhlasan calon atau parti dalam menangani isu air, turut menjadi faktor penting apabila 53.1 peratus responden menekankan aspek keikhlasan dalam penyelesaian masalah tersebut.

“Pengundi tidak mahu parti politik hanya menggunakan isu air untuk meraih undi, tetapi mahukan komitmen sebenar untuk menyelesaikan masalah yang telah lama melanda negeri ini,” katanya kepada Bernama.

Nordin berkata kajian turut mendapati 56.1 peratus responden mengesahkan parti politik membangkitkan isu air dalam kempen mereka, dengan 45 peratus daripadanya menyatakan isu tersebut mempengaruhi keputusan pengundian mereka.

Beliau berkata 59.2 peratus responden menganggap isu air lebih penting berbanding isu lain yang dibangkitkan sepanjang kempen, manakala 67 peratus menyatakan mereka sangat terpengaruh dengan isu air yang dibangkitkan calon dan parti.

“Kegagalan menyelesaikan masalah air boleh mengakibatkan parti kehilangan sokongan pengundi, dengan 66 peratus responden menyatakan mereka tidak akan turun mengundi jika isu air tidak diatasi.

“Selain itu, 52.1 peratus responden mengancam untuk menukar sokongan kepada parti lain yang dilihat lebih mampu menyelesaikan masalah bekalan air,” katanya.

Nordin berkata walaupun Sabah menerima hujan sebanyak 2,500 milimeter secara purata setahun dan mempunyai 87 bilion meter padu air yang mengalir di sepanjang sungai, negeri itu masih menghadapi masalah bekalan air yang kronik.

“Daripada jumlah tersebut, kita hanya mampu mengakses 13 bilion meter padu atau 30 peratus, tetapi penggunaan sebenar hanya 1.4 bilion meter padu, kurang daripada 10 peratus daripada jumlah yang boleh diakses,” katanya.

Beliau berkata situasi itu menunjukkan wujud jurang besar antara potensi sumber air yang ada dengan infrastruktur, serta pengurusan bekalan air yang tidak mencukupi untuk memenuhi keperluan rakyat Sabah.

Dalam pada itu, kajian Institut Darul Ehsan (IDE) dengan kerjasama UMS dan Pertubuhan Penyelidik Sosial dan Komuniti (PPSK) mendapati, 76 peratus responden juga meletakkan isu gangguan bekalan air dan elektrik sebagai isu utama.

Berdasarkan kajian, tumpuan isu utama berbeza mengikut kawasan dengan gangguan air dan elektrik di Pedalaman, Pantai Timur dan Kudat, manakala infrastruktur dan jalan raya di Tawau serta kos sara hidup di Pantai Barat.

“Kesimpulannya, tiga isu utama di Sabah yang perlu diatasi ialah gangguan bekalan air dan elektrik, infrastruktur dan jalan raya, serta kenaikan harga barang dan kos sara hidup,” menurut kajian itu.

Kerajaan Persekutuan dan Sabah komited dalam menangani semua isu berkaitan air, antaranya melalui projek Loji Rawatan Air (LRA) Telibong II Fasa 2 di Tuaran yang menggandakan kapasiti loji daripada 80 juta liter sehari (MLD) kepada 160 MLD dan telah siap Julai lepas.

Projek peluasan LRA Kogopon 2 di Papar disasarkan siap sepenuhnya pada Julai 2026, termasuk infrastruktur saluran paip sokongan dan penyimpanan, manakala pelaksanaan fasa 1 projek naik taraf Sistem Bekalan Air Lahad Datu berkapasiti 60 MLD dijangka siap Julai tahun depan.

LRA Mamut berkapasiti 5 MLD di Ranau pula dibina bagi menyokong pertumbuhan penduduk di daerah tersebut dan dijangka beroperasi bulan depan, manakala pembinaan Empangan Tawau berkapasiti 30 juta meter padu, dijadualkan siap Julai 2026 bagi menambah rizab air yang signifikan untuk daerah itu.

Ketika membentangkan Belanjawan 2026, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan peruntukan pembangunan RM6.9 bilion untuk Sabah, termasuk penyelesaian masalah air dan elektrik.

Kerajaan Persekutuan sejak 2024 telah menyalurkan RM1 bilion untuk projek air Sabah, antaranya pemasangan paip di Tawau serta naik taraf paip usang di Kota Kinabalu, Penampang dan Putatan yang dijangka siap tahun depan.

Sebanyak 1.76 juta pengundi akan mengundi pada PRN Sabah ke-17 Sabtu ini, yang mempertandingkan 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top