am@hmetro.com.my
Johor Bahru: Tidak timbul masalah dalam pembahagian kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah apabila Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mengesahkan kerjasama dengan Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) Sabah.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, kerjasama itu dilihat lebih harmoni apabila dapat mencapai kata sepakat demi tujuan dan misi yang sama.
“Tiada masalah (pembahagian kerusi). Saya rasa kita semua pakat-pakatlah sebab yang kita nak bina ini apa? Negara? Negeri? Jadi, pakat-pakatlah.
“Jika semua ada tujuan dan matlamat yang sama, bukan untuk kepentingan diri, tetapi untuk negara dan negeri, kita teruskan.
“GRS? Kita alu-alukan. BN-PH kita dah boleh (kerjasama). Kemudian GRS dah ‘confirm?’ Baguslah, harmoni, boleh menang semua,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Pulai di Kompleks Tan Sri Mohamed Rahmat di sini, hari ini.
Turut hadir, Ketua UMNO Bahagian Pulai, Datuk Nur Jazlan Mohamed.
Sementara itu, ditanya apakah strategi UMNO menjelang PRN Sabah selepas tiga parti bakal bekerjasama, Ahli Parlimen Titiwangsa itu berkata, perbincangan akan dibuat, namun apa yang penting jangan berlaga.
“Itu nanti kita bincang, lain parti ada lain strategi, yang penting jangan berlaga. Kalau berlaga sesama kita, orang lain yang untung,” katanya.
Pada 27 Julai lalu, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor mengesahkan GRS akan meneruskan kerjasama politik dengan PH Sabah bagi menghadapi PRN negeri itu.
Terdahulu, Johari ketika berucap pada majlis berkenaan berkata, UMNO perlu bersedia dari sekarang kerana bukan sahaja akan berdepan dengan PRN Sabah, malah selepas itu PRN Melaka dan PRN Johor pula.
Ahli Parlimen Titiwangsa itu berkata, pada PRN Johor sebelum ini, UMNO menunjukkan prestasi cemerlang apabila berjaya mendapat 40 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) sekali gus mendapat majoriti dua pertiga.
Katanya, beliau berharap kejayaan itu dapat diulang pada PRN Johor selain menang lebih banyak kerusi di peringkat Parlimen pada pilihan raya umum akan datang.
© New Straits Times Press (M) Bhd