PRN Sabah: Kolej TVET tawar kursus lanjutan perlu diwujudkan di Sandakan – Ahmad Zahid

PRN Sabah: Kolej TVET tawar kursus lanjutan perlu diwujudkan di Sandakan – Ahmad Zahid

Sandakan: Sebuah kolej Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang menawarkan kursus lanjutan ke peringkat lebih tinggi perlu dibangunkan di Sandakan bagi memenuhi permintaan terhadap pendidikan berasaskan kemahiran.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata di Sabah ketika ini hanya mempunyai sebuah Institut Kemahiran MARA (IKM) di Kota Kinabalu, selain 24 GiatMARA di seluruh negeri.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) berkata, pelajar negeri ini memerlukan sebuah institusi TVET tinggi yang menawarkan kursus lanjutan dan sama taraf dengan Kolej Komuniti.

“Pada hemat saya, di kawasan Sandakan ini sangat perlukan sebuah kolej tinggi TVET ini. Ini penting kerana selepas Sandakan kekurangan industri perkayuan, maka kita arahkan perlu dibangunkan semula.

“Pada perkiraan KKDW dan MARA, kita merasakan kawasan ini perlukan kursus lanjutan TVET untuk ditawarkan kepada pelajar,” katanya pemberita selepas merasmikan Program Sentuhan Kasih Desa di Dewan Sibuga Jaya, Batu 8, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail; Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid; Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong dan Ahli Parlimen Libaran yang juga calon kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Sibuga, Datuk Suhaimi Nasir.

Ahmad Zahid berkata, kewujudan kolej itu nanti akan memastikan anak muda tempatan mendapat latihan di negeri ini dan terus bekerja di sini tanpa perlu ke Semenanjung.

“Saya sebutkan tadi satu daripada lima penganggur datang dari Sabah dan masalah (peluang pengangguran) perlu diselesaikan.

“Insya-Allah dengan wujudnya kolej ini, ia akan dapat menawarkan pekerjaan dengan gaji premium, lebih daripada gaji minimum sebagaimana ditetapkan.

“Selepas PRN (pilihan raya negeri), kita akan umumkan dan menyegerakan peruntukan untuk dibawa ke sini,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top