PRN Sabah: Pemimpin PGRS DUN Klias sertai BN

PRN Sabah: Pemimpin PGRS DUN Klias sertai BN

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Barisan Nasional (BN) Sabah terus memperkukuh kedudukan di Beaufort apabila kepemimpinan tertinggi Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Klias mengumumkan keluar parti dan menyertai BN.

BN Sabah dalam satu kenyataan, berkata langkah itu disifatkan sebagai satu gelombang baharu yang memperlihatkan keyakinan terhadap parti berkenaan semakin kuat.

“Antara yang menyertai BN ialah Naib Ketua Bahagian PGRS Beaufort, Shahron @ Omar Osin; Ketua Pemuda PGRS Beaufort merangkap Ketua Pemuda PGRS Klias, Mohd Shahril Osin dan Ahli Jawatankuasa Bahagian PGRS Klias, Yakob Jilon bersama barisan kepemimpinan ranting serta penyokong akar umbi GRS di kawasan berkenaan.

“Pemimpin akar umbi di Beaufort kini sedar bahawa perjuangan sebenar untuk rakyat hanya mampu diteruskan di bawah payung BN yang mempunyai struktur, hala tuju dan rekod pencapaian terbukti,” katanya hari ini.

Menurut kenyataan itu, PGRS kini dilihat seolah-olah hilang arah, terperangkap dalam kepemimpinan bercelaru dan tidak berwawasan, sedangkan rakyat di peringkat bawah terus terkesan akibat kelemahan pentadbiran kerajaan negeri sedia ada.

Dalam pada itu, BN Sabah turut mengalu-alukan penyertaan ahli baharu berkenaan dengan tangan terbuka.

“Ini bukan soal jumlah individu yang keluar parti, tetapi soal momentum dan mesej bahawa rakyat sudah mula bangkit menolak kepimpinan gagal dan kembali kepada kekuatan sebenar politik pembangunan.

“Kemasukan kepemimpinan utama PGRS Klias ke dalam BN membuktikan satu perkara penting politik di Sabah sedang berubah dan BN sedang memimpin perubahan itu,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top