Lahad Datu: Pakatan Harapan (PH) membawa pendekatan kempen yang lebih matang, berasaskan fakta dan nilai murni pada Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) Sabah, sekali gus menolak politik fitnah serta hasutan.
Calon PH bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Segama, Romansa Lamin, ketika menegaskan perkara itu berkata pendekatan sedemikian membolehkan rakyat menilai calon berdasarkan kemampuan, hujah, manifesto dan gagasan pembangunan.
Selain itu, beliau berkata, kehadiran PH di kawasan itu selepas 13 tahun, membuka lembaran baharu untuk penduduk memiliki wakil rakyat yang dekat dengan masyarakat setempat serta boleh bekerja secara langsung dengan Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri.
“Calon dari kawasan ini perlu membawa suara rakyat dengan hati dan jiwa yang dekat di sini. Ini penting kerana wakil rakyat mesti dapat menyampaikan keperluan rakyat terus kepada presiden parti dan kepimpinan Persekutuan.
“Contohnya, isu perumahan atas air yang memerlukan penggantian papan dan struktur reput. Banyak perkara memerlukan perhatian segera,” katanya kepada pemberita pada majlis sembang santai bersama komuniti di sini, hari ini.
Romansa berkata, hubungan baik antara kerajaan negeri dengan Persekutuan akan memastikan setiap peruntukan serta projek dilaksanakan dengan telus dan penuh tanggungjawab.
“Kerajaan boleh mengumumkan projek dan peruntukan, tetapi yang penting ialah pelaksanaannya. Ini hasrat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, untuk memastikan dana dibelanjakan dengan telus dan sampai kepada rakyat,” katanya.
Dalam pada itu, Romansa menepis dakwaan bahawa beliau bukan anak jati Segama.
“Saya lahir di Tawau, tetapi asal datuk moyang saya memang dari Segama. Saya sudah lebih 30 tahun berkhidmat di Lahad Datu… Segama amat dekat dengan saya dan saya mahu berkhidmat kepada rakyat di sini,” katanya.
DUN Segama yang mempunyai 29,840 pengundi, mula dipertandingkan pada PRN lalu.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 29 November ini sebagai hari pengundian, manakala 25 November pula hari pengundian awal.
Untuk berita terkini PRN Sabah ke-17, sila layari https://prn.bernama.com/sabah/index.php
N61: SEGAMA – 29,840 PENGUNDI
1. Datuk Mohamaddin Ketapi (Bebas)
2. Muhammad Abdul Karim (Warisan)
3. Alif Afiandy Ali (Bebas)
4. Ehtisham Ur Rahman Mhaulaha (PIS)
5. Norman Kasimin (Bebas)
6. Romansa Lamin (PH-PKR)
7. Yvonne Yong Yit Phung (SAPP)
(2020: Datuk Mohamaddin Ketapi: Warisan Plus-Warisan: Majoriti: 2,168)
(Kini: Bebas)
© New Straits Times Press (M) Bhd




