PRN Sabah: PN yakin sentimen rakyat Sabah semakin positif

PRN Sabah: PN yakin sentimen rakyat Sabah semakin positif

khairil.ashraf@hmetro.com.my

Shah Alam: Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin mendakwa sentimen rakyat Sabah semakin positif kepada gabungan itu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) yang bakal berlangsung tidak lama lagi.

Menurutnya, perkara itu adalah berdasarkan beberapa lawatan dibuatnya ke Sabah yang mendapat sambutan luar biasa.

“Syabas saya ucapkan kepada BERSATU Negeri Sabah khususnya dan semua pimpinan serta ahli parti yang telah turun membantu persiapan pilihan raya di negeri Sabah.

“Sebagai tawaran kita kepada rakyat di negeri Sabah, BERSATU akan memperjuangkan hak negeri Sabah untuk mendapatkan 40 peratus hasil dari negeri Sabah dikembalikan ke negeri itu selaras dengan Perjanjian Malaysia 1963 dan peruntukan Perkara 112C dan 112D Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa merasmikan Perhimpunan Agung Tahunan BERSATU Kali Ke-8 di Ideal Convention Centre (IDCC) hari ini.

Selain itu, Muhyiddin berkata, BERSATU dan Perikatan Nasional (PN) juga akan memberi tumpuan kepada usaha untuk memacu kemajuan Sabah, membasmi kemiskinan, memperluas kemudahan infrastruktur asas, meningkatkan pencapaian pendidikan, menyediakan peluang pekerjaan yang lebih baik, menambah pendapatan dan membela kebajikan rakyat.

“Insya-Allah, manifesto lengkap PN di negeri Sabah akan kita umumkan apabila tiba masanya nanti,” katanya.

Ahli Parlimen Pagoh itu dalam masa sama menyatakan, sekiranya BERSATU dan PN mendapat mandat untuk mentadbir semula Malaysia dalam Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16), dasar Wawasan Kemakmuran Bersama yang bertujuan untuk membolehkan rakyat berbilang kaum berkongsi kemakmuran negara secara adil dan saksama tanpa mengkesampingkan agenda bumiputera akan dilaksanakan.

“Kita juga akan melindungi hak semua rakyat untuk memiliki harta dan menolak segala bentuk undang-undang yang hanya menguntungkan segelintir pemaju seperti Rang Undang-Undang Pembaharuan Semula Bandar,” katanya.

Muhyiddin berkata, antara perkara lain yang akan dilaksanakan oleh mereka adalah dengan menubuhkan sebuah Majlis Perundingan Ekonomi Nasional untuk mendapatkan input dan cadangan bagi menstruktur semula ekonomi Malaysia.

“Fokus majlis ini adalah untuk merancakkan pertumbuhan ekonomi negara, menggalakkan pelaburan asing khususnya dalam bidang berteknologi tinggi, mengurangkan bebanan hutang negara dan menambah

pendapatan rakyat.

“Penciptaan peluang pekerjaan baharu khususnya untuk anak-anak muda akan turut diberikan keutamaan oleh majlis ini,” katanya.

Menurutnya, dasar percukaian negara dan rasionalisasi subsidi juga akan dikaji semula agar tidak membebankan rakyat dan menyusahkan perniagaan.

“Majlis Tindakan Kos Sara Hidup Negara (NACCOL) akan dirombak semula untuk memastikan majlis ini dapat berfungsi dengan lebih berkesan untuk menangani isu kos sara hidup rakyat yang semakin meruncing.

“Dasar Agromakanan Negara dan Keterjaminan Makanan akan dilancarkan semula dengan sebuah majlis khas dibentuk untuk menyediakan pelan dan strategi yang lebih agresif untuk menambah hasil makanan negara,” katanya.

Katanya, Pelan Pembangunan Pendidikan Negara yang baharu turut akan diperkenalkan untuk meningkatkan kualiti pendidikan negara mengambil kira perkembangan terbaharu dalam dunia pendidikan termasuk penggunaan teknologi terkini dalam pengajaran dan pembelajaran.

“Isu pembangunan sahsiah murid dan budaya buli di sekolah dan institusi pendidikan yang lain akan turut diberikan tumpuan utama,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top