am@hmetro.com.my
Tangkak: UMNO dan Barisan Nasional (BN) sentiasa membuka jalan untuk menjalin kerjasama dengan mana-mana parti tempatan bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) tahun ini.
Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, gabungan itu mahu membentuk persefahaman dengan parti tempatan sekali gus mengukuhkan kerjasama di peringkat negeri.
Katanya, UMNO/BN pada dasarnya sudah bersetuju menerokai kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) bagi menghadapi PRN itu.
“Kita perlukan kerjasama dengan gabungan atau parti lain kerana UMNO/BN tidak boleh lagi bergerak sendiri. Kita perlukan rakan lain juga untuk menghadapi PRN ini… dan kita juga sedang menerokai beberapa pertimbangan terutama pembahagian kerusi DUN (Dewan Undangan Negeri) dan persefahaman dengan parti tempatan.
“Kita nak masuk PRN Sabah sebagai satu pasukan yang mantap bukannya terpaksa menangkis macam-macam,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Mesyuarat UMNO Bahagian Ledang di Tangkak, hari ini.
Kata Mohamad lagi, pasukan yang mantap membolehkan pengundi tidak keliru untuk memberi sokongan sekali gus mentadbir negeri.
Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah dijadual terbubar secara automatik, 11 November ini selepas pembukaan rasmi DUN Sabah pada 12 November 2020.
© New Straits Times Press (M) Bhd