PRN Sabah : UPKO, KDM, STAR, calon bebas penentu pembentukan kerajaan negeri, rundingan sedang dijalankan

PRN Sabah : UPKO, KDM, STAR, calon bebas penentu pembentukan kerajaan negeri, rundingan sedang dijalankan

bhnews@bh.com.my

Kota Kinabalu : Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) serta lima calon bebas yang menang, dijangka menjadi penentu kepada pembentukan kerajaan Sabah yang baharu.

Ia selepas dua parti yang dilihat bersaing sejak dari awal, Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Parti Warisan (WARISAN) masing-masing belum melepasi majoriti mudah 37 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Difahamkan, rundingan bagi parti tempatan Sabah itu serta calon bebas sedang diadakan ketika ini, namun jurucakap parti yang dihubungi sebentar tadi tidak berkongsi maklumat terperinci termasuk lokasi rundingan.

Setakat ini juga, belum ada petunjuk sidang media akan diadakan oleh ketua parti khususnya GRS, serta parti tempatan bagi tujuan menyatakan arah sokongan mereka dalam pembentukan kerajaan negeri.

Terdahulu, Pakatan Harapan (PH) mengumumkan akan membentuk kerajaan negeri bersama GRS, selepas gabungan itu menang di 29 kerusi DUN, berdasarkan keputusan tidak rasmi setakat 11 malam ini.

Berdasarkan keputusan semasa itu, saingan terdekat GRS hadir dari WARISAN yang menang di 21 kerusi, diikuti 10 kerusi DUN dimenangi Barisan Nasional (BN).

UPKO, KDM, STAR serta calon bebas masing-masing mengumpul 10 kerusi DUN, selain dua DUN dimiliki PH, sekali gus mampu melengkapkan serta melepasi jumlah 37 kerusi bagi membentuk kerajaan negeri.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top