mdroji@bh.com.my
Kuching: Pilihan Raya Negeri ke-13 Sarawak (PRN Sarawak) berkemungkinan diadakan Disember ini, dengan tarikh 12 atau 19 Disember antara kemungkinan yang dilihat sesuai.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah, berkata, bagaimanapun pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) bergantung kepada keputusan Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg, manakala tarikh sebenar PRN Sarawak hanya akan ditentukan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Beliau berkata, penggal DUN Sarawak akan berakhir secara automatik selepas tempoh lima tahun yang genap Februari tahun depan.
“Apabila DUN dibubarkan, SPR di bawah undang-undang pilihan raya perlu mengadakan pilihan raya dalam tempoh 60 hari.
“Sebab itu ada yang kata boleh sampai Februari, tetapi saya melihatnya sehingga Disember kerana itu tempoh lima tahun penggal DUN,” katanya.
Abdul Karim berkata, berdasarkan keadaan semasa, tempoh untuk menentukan tarikh pilihan raya semakin singkat, terutama mengambil kira proses yang perlu dilalui SPR selepas pembubaran DUN.
Beliau berkata, jika pembubaran berlaku pada penghujung Oktober atau November, SPR memerlukan masa untuk bersidang sebelum menetapkan tarikh pilihan raya, selain lazimnya menyediakan tempoh berkempen sekitar dua minggu.
Menurutnya, kemungkinan mengadakan pilihan raya pada Januari atau Februari juga dilihat kurang sesuai berikutan beberapa perayaan dan bulan Ramadan, sekali gus mengecilkan ruang masa untuk pelaksanaan PRN.
“Jadi, kita hanya ada November dan separuh Disember. Sebab itu saya katakan ia mungkin benar, mungkin tidak, semuanya bergantung kepada bila pembubaran dibuat.
“Saya boleh katakan pembubaran itu akan berlaku tidak lama lagi,” katanya.
Sebagai Ketua Penerangan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) dan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PDP), Abdul Karim berkata, Gabungan Parti Sarawak (GPS) sudah bersedia menghadapi PRN, termasuk parti pembangkang yang dijangka turut membuat persiapan.
Mengenai calon GPS, Abdul Karim berkata, keputusan mengenainya diserahkan kepada kepimpinan tertinggi parti, namun menjangkakan berlaku perubahan calon pada setiap pilihan raya bagi memastikan kesinambungan kepimpinan.
“Pada setiap pilihan raya, sekurang-kurangnya 10 peratus calon mungkin ditukar dan dalam 10 hingga 30 peratus calon baharu itu, kita juga perlu mengambil kira peranan wanita dan golongan muda,” katanya.
Mengenai peluang GPS mempertahankan majoriti dua pertiga, beliau berkata, gabungan itu yakin dapat mengekalkan pencapaian berkenaan, namun tidak mengambil mudah mana-mana kerusi daripada 82 kerusi DUN Sarawak.
“Setiap kerusi penting. Kita tidak boleh menganggap ada kerusi putih, kelabu atau hitam kerana kita perlu menghormati pengundi dan memastikan mereka mendapat wakil rakyat terbaik,” katanya.
Ditanya mengenai masa depan kerusi DUN Asajaya yang disandangnya selama kira-kira 25 tahun, Abdul Karim berkata, beliau menyerahkan keputusan kepada Premier Sarawak dan bersedia berundur sekiranya kepimpinan merasakan sudah tiba masanya memberi peluang kepada calon lebih muda.
“Saya bersedia untuk memberi laluan dan menyokong sesiapa yang akan dipilih. Tetapi keputusan itu saya serahkan kepada Premier,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




