PRN: Warisan pertimbang kerjasama dengan parti lain, termasuk Umno

PRN: Warisan pertimbang kerjasama dengan parti lain, termasuk Umno

am@hmetro.com.my

Putatan: Parti Warisan (Warisan) mungkin mempertimbangkan untuk bekerjasama dengan parti politik lain di Sabah pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Presidennya, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, pihaknya sudah mengenal pasti beberapa parti termasuklah Umno.

“Memang kita ada kenal pasti beberapa parti, diantaranya Umno, itu menjadi parti yang kita lihat diperingkat negeri Sabah tetapi segala keputusan kita belum putuskan ketika ini.

“Dalam keadaan hari ini memang kita memasuki Kerajaan Perpaduan di peringkat Pusat namun pada peringkat negeri, kita tidak termasuk kerana ramai orang kita yang ‘dibeli’.

“Jadi, kita kena cukup jelas dan faham hala tuju keadaannya. Bagaimanapun, seperti sebelum ini kita putuskan untuk pastikan kekuatan parti dapat diberi keutamaan,” katanya ketika ditemui media selepas menghadiri Majlis Pemimpin Parti Warisan Bersama Akar Umbi Putatan, di sini, malam ini.

Mengulas lanjut, Mohd Shafie berkata, pihaknya bukan hanya menyusun kepimpinan diperingkat bahagian malah akan menonjolkan pimpinan yang bakal mewakili Warisan dalam pilihan raya akan datang.

“Kita kena menapis secara dalam dan tidak boleh hanya mengambil pandangan orang tertentu dan apabila sudah jadi wakil rakyat, nanti terus lompat.

“Ini yang menjadi kebimbangan kita dan kita perlu siapkan sebelum menyatakan siapa rakan kita untuk pilihan raya kelak,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top