PRN17: BN umum kerusi PRN Sabah selepas rundingan dengan PH selesai

PRN17: BN umum kerusi PRN Sabah selepas rundingan dengan PH selesai

am@hmetro.com.my

Kota Kinabalu: Barisan Nasional (BN) akan mengumumkan kerusi yang akan ditandinginya pada Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) Sabah setelah rundingan dengan Pakatan Harapan (PH) dimuktamadkan.

Pengerusinya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata beliau akan membuat pengumuman itu selepas rundingan dengan PH dimuktamadkan sepenuhnya, dijangka selepas Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah dibubarkan.

Katanya, BN hanya bertanding di kerusi yang diyakini boleh dimenanginya, manakala selebihnya diserahkan kepada PH dan parti lain yang disebutnya sebagai ‘third force’.

“Apa yang pasti kita tidak akan bertanding di seluruh 73 kerusi untuk PRN17 Sabah ini, tetapi ada kerusi yang kita fikirkan di mana kita akan meletakkan calon berdasarkan kepada kebolehmenangan.

“Saya akan umumkan berapa kerusi yang akan kita muktamadkan, yang penting kerusi-kerusi ini adalah yang kebolehmenangannya tinggi.

“Dan kita akan kerjasama dengan ‘the third force’ di Sabah ini untuk menentukan bahawa kerusi itu akan memihak kepada calon BN,” katanya kepada media selepas melancarkan Skuad Sukarelawan BN Sabah, di sini, hari ini.

Beliau yang juga Presiden UMNO, berkata jumlah kerusi yang akan ditandingi BN melebihi daripada jumlah kerusi yang dimenangi gabungan itu pada pilihan raya lalu, iaitu 14 kerusi.

Katanya, selain 14 kerusi itu, termasuk enam kerusi yang mana wakil rakyatnya melompat ke parti lain sebelum ini, kerusi lain dianggap sebagai kerusi baharu yang akan ditandingi BN.

“Dulu kita memenangi 14 kerusi dan kali ini pasti lebih daripada 14 kerusi kita tandingi, jadi selain daripada 14 kerusi yang ada, yang lainnya kita anggap baharu tetapi kita yakin kebanyakannya akan memihak kepada BN,” katanya.

Mengenai status perbincangan dengan PH, Ahmad Zahid berkata pihaknya sudah memuktamadkan perbincangan dengan PH bagi mengelak pertindihan, tetapi ia hanya dimuktamadkan sepenuhnya selepas pembubaran DUN.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top